Belanjawan Kelantan 2016: Keberkatan Membawa Kemakmuran

. | .

Maksudnya: “Dan kepada kaum Tsamud (Kami utus) saudara mereka, Soleh. Dia berkata, "Wahai kaumku! Sembahlah Allah, tidak ada bagimu Tuhan yang berhak disembah selain Dia. Dia telah menciptakan kamu daripada tanah dan menjadikan kamu pemakmurnya, kerana itu mohonlah ampunan dan bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku sangat dekat dan memperkenankan doa hamba-Nya." (Surah Hud ayat 61)

Marilah sama-sama kita mengucapkan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala  di atas segala limpahan rahmat-Nya yang tidak terbatas,  menjadikan bumi Kelantan subur makmur penuh khazanah,  rakyat hidup aman sentosa di bawah payungan syariah.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kepada Allah yang mengizinkan saya membentangkan Bajet bagi tahun 2016 didalam Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Yang keTiga Dewan Undangan Negeri Kelantan Yang Ketigabelas pada hari yang mulia ini.

Di kesempatan ini saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Kelantan sama ada yang bermastautin dalam negeri ataupun yang berada di perantauan  di atas sokongan dan dokongan yang telah diberikan selama ini. Kerajaan amat menghargai semangat kebersamaan yang telah ditunjukkan oleh warga Kelantan sekalian dalam mendokong dan menghayati agenda Merakyatkan Membangun Bersama Islam.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini menyeru kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat untuk sekali lagi memperbaharui azam bagi menyumbang khidmat yang terbaik, memakmurkan bumi ini dan melaksanakan pengislahan ke atasnya sebagaimana firman Allah yang saya baca di awal ucapan saya tadi:

Maksudnya: “Dia telah menciptakan kamu daripada tanah dan menjadikan kamu pemakmurnya”  (surah Hud:61)

Marilah kita sama-sama berbincang dan berbahas sesuatu isu dengan penuh tertib dan adab susila, serta memberi cadangan-cadangan yang bernas untuk kesejahteraan  rakyat dan memajukan Negeri Kelantan yang kita sayangi berdasarkan maratib dan keutamaan  berlandaskan maqasid syariah.

Dalam iklim ketidaktentuan ekonomi global  disebabkan oleh kelesuan ekonomi China dan langkahan polisi kewangan (monetary policy) Amerika Syarikat, Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka turut menerima impak. Walaubagaimanapun, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dan mencatat pertumbuhan 4.9 % pada suku kedua 2015. Ia dijangka kekal pada landasan pertumbuhan yang kukuh dalam baki suku tahun 2015.

Negeri Kelantan sebagai salah sebuah dari negeri dalam Malaysia sudah tentu mempunyai hubungan langsung dengan turun naik ekonomi negara walau dalam nisbah yang sederhana. Pada tahun 2014, ekonomi Negeri Kelantan berkembang sebanyak 5.0 % berbanding 3.3% pada tahun 2013, dengan menyumbang sebanyak RM 19.1 billion atau 1.90 % kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK Negeri  iaitu sebanyak 65.3 % , diikuti oleh sektor pertanian sebanyak 26.1% ,  sektor pembuatan sebanyak 5.6 % , pembinaan sebanyak 1.6 % dan, Perlombongan dan carigali 1.1 %.  Ekonomi negeri Kelantan dijangka terus mengukuh dan diunjurkan berkembang secara positif bagi tahun 2015.

Banjir besar yang melanda negeri Kelantan pada akhir tahun 2014, ditambah dengan kejatuhan nilai ringgit sedikit sebanyak telah membantutkan aktiviti ekonomi rakyat dan pasti ianya secara langsung memberi impak kepada ekonomi negeri bagi tahun 2015. Oleh itu, ekonomi negeri Kelantan bagi tahun 2015 dijangka akan terus kekal sederhana. Walaupun demikian, bagi tahun 2016, ekonomi negeri dijangka akan lebih baik dan memberangsangkan dengan pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) di negeri ini.

Dalam kesederhanaan ekonomi negeri dan kekangan kewangan kerajaan, kita bersyukur kepada Allah kerana kadar kemiskinan negeri telah menurun dari 29.5 % pada tahun 1992 kepada 0.9 % pada tahun 2014. Ini mungkin adalah sebahagian daripada keberkatan yang dikurniakan Allah apabila kita mentadbir di atas landasan Islam.

TEMA BAJET 2016

Tema Bajet Negeri Kelantan Tahun 2016 adalah “KEBERKATAN MEMBAWA KEMAKMURAN”.

Keberkatan bermaksud tumbuh berkembang dan bertambah  dengan mendapat keredhaan Ilahi. Firman Allah:  Maksudnya: “Dan menjadikan aku diberkati di mana sahaja aku berada”    (Maryam:31)

Manakala Kemakmuran bermaksud subur, aman sejahtera dan     berkemajuan serta bertamadun. Firman Allah:
Maksudnya: “Negeri yang baik (makmur) serta mendapat pengampunan daripada Tuhan yang maha pengampun” (Saba’ : 15)

Selaras dengan tema Keberkatan Membawa Kemakmuran, bajet 2016 adalah merupakan perancangan berbelanja secara bijaksana dan berhemat dengan memberikan keutamaan kepada projek-projek atau program-program yang boleh mendatangkan manfaat secara langsung kepada pembinaan rakyat berteraskan “Sibghah Rabbaniah”, dan penggembelingan sumber yang optima bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada teras-teras berikut:-
    Pertama: Memperkasa pembangunan Insan berteraskan Islam;
    Kedua: Merancakkan pembangunan ekonomi rakyat dengan
     memanfaatkan sumber setempat;
    Ketiga: Pembelaan golongan daif dan miskin, orang kurang upaya, anak yatim, armalah dan warga emas;
    Keempat: Mengukuhkan keupayaan institusi dan badan pelaksana bagi tujuan pertumbuhan.
Kelima: Pengukuhan kewangan negeri

Berasaskan kepada tema tersebut, Bajet 2016 akan berpaksikan kepada strategi-strategi berikut:

Mempergiatkan aktiviti dakwah dan bina insan bagi melahirkan rakyat yang bermotivasi tinggi, dinamik dan berbakat serta mengamalkan nilai-nilai hidup Islam yang syumul.
Merancakkan aktiviti ekonomi rakyat dengan membuka lebih banyak peluang dalam bidang-bidang yang bersesuaian dengan bakat dan persekitaran mereka bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat. Dengan itu, matlamat mengatasi  kemiskinan tegar di negeri ini dapat dicapai sepenuhnya.
Memastikan kemudahan infrastruktur dan utiliti asas dapat dibangunkan dan diselenggara dengan baik termasuk penambahbaikan sistem bekalan air terawat, menaiktaraf jalan-jalan negeri dan pembaikian jalan-jalan kampung.
Mewujudkan urustadbir yang baik dengan mengutamakan ketelusan dan kecekapan menerusi pentadbiran yang berlandaskan Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan.
Memastikan dasar perbelanjaan berhemah diteruskan supaya setiap perbelanjaan dibelanjakan mengikut keperluan dan keutamaan sebenar rakyat. Untuk itu, setiap projek yang bakal dilaksanakan dinilai dengan terperinci bagi mengelak ketirisan perbelanjaan.
Memastikan hasil dan tunggakan hasil Kerajaan Negeri dapat dipungut, termasuk sumber-sumber hasil baru.

TERAS PERTAMA: MEMPERKASA PEMBANGUNAN INSAN BERTERASKAN
ISLAM

PEMBINAAN SYAKSIAH DAN JATI DIRI

Firman Allah SWT:
Maksudnya: Adapun orang yang takutkan Allah dengan keagunganNya serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya. (Al-Nazi’at: 40-41)

Pembinaan syaksiah dan jati diri menjadi agenda utama Kerajaan Kelantan. Kerajaan memahami betapa pentingnya memiliki sumber manusia dan tenaga insan yang berkualiti tinggi. Berkualiti di sini bukan sahaja memiliki kelulusan akademik yang baik dan berkemahiran tinggi,  tetapi juga mempunyai keperibadian yang unggul serta bertakwa. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan bagi mempastikan langkah-langkah penambahbaikan pentadbiran Agama Islam dilaksanakan secara tersusun dan mengikut perancangan yang ditetapkan. Menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, peruntukan sejumlah RM6.51 juta diperuntukan untuk melaksanakan pelbagai program/aktiviti dakwah, pengajian tafakuh, pengendalian pelbagai kursus bina insan dan lain-lain aktiviti bagi mengukuhkan kefahaman dan penghayatan Islam di kalangan masyarakat terutamanya dikalangan generasi muda.

Program-program tahunan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan juga akan diteruskan seperti program-program Ihya Ramadhan melalui peruntukan RM150 ribu, Tahfiz Al-Quran sebanyak RM150 ribu, perayaan Agama Islam/ Hijratul Rasul RM110 ribu, Ujian Tilawah Al-Quran RM200 ribu, Pembangunan Islam Jajahan RM150 ribu, Program Hududullah RM100 ribu, Kecemerlangan Solat RM800 ribu, Program Majlis Bersama Ulamak/Guru Pondok/Ketua Madrasah berjumlah RM200 ribu serta program baru Kelas Tafaqquh Fiddin RM90 Ribu dan Kelas Taranum Al-Quran RM50 Ribu.  Kerajaan juga akan terus menyediakan peruntukan sebanyak RM850 ribu untuk Program-program Kursus Pembangunan Keluarga, Seminar dan Kursus Pra-Perkahwinan. Manakala program-program yang menjurus ke arah pembinaan Insan akan mendapat peruntukan sebanyak RM2.20 juta di bawah Pejabat Pembangunan Negeri.  

Kerajaan Negeri juga meneruskan peruntukan sejumlah RM1 juta yang disalurkan melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk Prasarana Material Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II. Kerajaan juga telah menyedia peruntukan sejumlah RM7.0 juta di bawah Pejabat Pembangunan Negeri bagi projek pembinaan dan pembaikian masjid-masjid seluruh negeri termasuk Pembinaan Masjid Keputeraan.

Seperti tahun-tahun lepas, Kerajaan Negeri juga akan terus menyediakan sumbangan tahunan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.  Bagi tahun 2016,  sejumlah RM1.0 juta telah diperuntukkan.   

Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menubuhkan Jabatan Pembangunan Islam (JPI) di semua Majlis-Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai salah satu langkah memantapkan peranan PBT dalam melaksanakan dasar Membangun Bersama Islam. Jabatan Pembangunan Islam (JPI) berperanan untuk memperkemaskan dan mempergiatkan  kerja-kerja dakwah dan amal kebajikan melalui program-program seperti kuliah agama, tazkirah, usrah, program motivasi, menyalurkan kebajikan kepada warga yang kurang bernasib baik dan lain-lain.

PROGRAM MEMARTABATKAN PENDIDIKAN AGAMA ISLAM

Adalah menjadi agenda utama Kerajaan Negeri mempastikan pendidikan agama terus berkembang, Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM78.0 juta bagi tahun 2016 berbanding  RM72.0 juta pada tahun 2015 kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi melaksanakan program-program pendidikan.  Disamping itu, sebanyak RM4.0 juta lagi disediakan untuk projek pembangunan baru, menaiktaraf dan menyelenggara bangunan sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan.

Bagi memartabatkan program  pendidikan dan pembelajaran, didalam bajet 2016 juga telah diperuntukkan sebanyak RM6.0 juta bagi pendidikan dan pembelajaran untuk pra sekolah, aktiviti pendidikan, bantuan pelajaran, dana pendidikan guru YIK dan program pengajian tinggi.

Bajet 2016 juga menyediakan peruntukan sejumlah RM2.0 juta kepada Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) untuk pembangunan dan pengurusan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

TERAS KEDUA: MERANCAKKAN PEMBANGUNAN EKONOMI RAKYAT

PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR ASAS

Firman Allah SWT:
Maksudnya: Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan bumi serta telah melimpahkan keatas kamu nikmat-nimat-Nya yang zahir dan batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia yang membantah terhadap Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan Kitab Allah yang menerangi kebenaran. (Luqman: 20)

Mengambil ibrah dari firman Allah bahawa segala apa yang ada di bumi adalah untuk diterokai manfaatnya oleh manusia, Kerajaan akan terus memberi penekanan dalam mempastikan setiap rakyat dapat menikmati kemakmuran negeri melalui pelbagai program pembangunan yang dirancang. Pembangunan infrastruktur asas akan tetap menjadi keutamaan Kerajaan kerana ianya pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi rakyat.
 
Lanjutan daripada itu, Bajet 2016 memperuntukan sejumlah RM21.1 juta kepada  Jabatan Kerja Raya Negeri (JKR) Kelantan untuk memperluaskan sistem rangkaian jalan negeri. Diantara projek yang akan dilaksanakan adalah menggantikan jambatan sempit di Pulau Melaka, Kota Bharu, Menaiktaraf jambatan Kg. Kerinting, Gua Musang, Menggantikan jambatan sempit di Kg.Sungai Petai, Pasir Puteh dan lain-lain. Kerajaan Negeri juga bercadang untuk membina Jalan Pasir Tumboh ke Pasir Jelatang, Pasir Hor yang melibatkan jalan sepanjang 3.7KM. Jalan ini merupakan jalan pintasan dari Pasir Tumboh ke Telipot, Kota Bharu dan apabila siap kelak dijangkakan akan dapat mengurangkan kesesakan trafik di kawasan Kubang Kerian dan Pasir Tumboh.

Selain daripada itu, Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM170.0 Juta bagi pengurusan dan penyenggaraan jalan-jalan utama negeri melalui Peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri (KAPJN). Pengurusan penyelenggaraan jalan juga telah ditambah baik dengan perlantikan syarikat konsesi yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan lebih efisyen.

Di samping itu, Kerajaan juga akan terus melaksanakan program-program menaiktaraf jalan-jalan kampung dan jalan-jalan pertanian di seluruh negeri ini. Sebanyak RM10.0juta disediakan bagi pembinaan dan menaiktaraf jalan-jalan kampung, RM4.0 juta untuk  Jalan-jalan di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan, RM300 ribu untuk penyenggaraan jalan pertanian, RM800 ribu lagi untuk pembinaan jalan-jalan  di kawasan industri dan  RM200 ribu pula untuk penyenggaraan jalan-jalan Pihak Berkuasa Tempatan dan sebanyak RM7.0 juta pula diperuntukkan untuk pembinaan dan pembaikian jambatan.

 Selain itu, sebanyak RM10.0 juta telah diperuntukkan untuk bayaran  pengambilan balik tanah bagi cadangan pembinaan jalan-jalan baru negeri bagi memberi kemudahan serta keselesaan kepada pengguna. Dengan terbinanya rangkaian jalan-jalan baru ini, ianya dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan-jalan utama sedia ada serta secara  tidak langsung menjadi pemangkin  untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat.

Bagi kawasan kampung dan desa yang tidak diliputi oleh bekalan air di bawah Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB), kerajaan akan terus memberi perhatian dengan memperuntukkan sebanyak RM1.2juta untuk melaksanakan Bekalan Air Luar Bandar  (BALB) disamping bantuan untuk pendawaian elektrik untuk penduduk yang kurang mampu.

MENGKOMERSILKAN SEKTOR PERTANIAN

Sektor pertanian masih merupakan sektor terpenting dalam menjana ekonomi Negeri Kelantan. Oleh itu, bagi meningkatkan daya saing sektor pertanian, kerajaan atas konsep “Bertani Satu Ibadah” akan terus memberi galakan dan mempergiatkan  usaha untuk meningkatkan pelaburan dalam aktiviti pertanian termasuk dalam pengeluaran  bahan makanan berkualiti.

Kerajaan Negeri  melalui Jabatan Pertanian Negeri dan agensi-agensi berkaitan akan menyusun dan melaksanakan pelbagai program pembangunan pertanian secara lebih sistematik. Di antara program-program tersebut adalah seperti Program Pembangunan Industri Padi, Program Pembangunan Industri Pelbagai Komoditi, Program Pembangunan Industri Sayuran dan Buah-buahan serta Program Pembangunan Usahawan Tani. Dengan menggunakan pendekatan Sistem Pengembangan Tekno Pertanian (SPTP) sebagai kaedah penyampaian perkhidmatan pengembangan, semua program dapat dirangka dengan rapi dan membolehkan penglibatan dari semua golongan sasar.

Bagi pembangunan usahawan industri kecil  dalam bidang pemprosesan makanan atau industri asas tani, kursus jangkamasa singkat dan jangkamasa panjang diadakan secara berkala.  Khidmat bimbingan terus (hands on) serta bimbingan dalam pembungkusan dan pemasaran produk diberikan secara berterusan supaya ianya  lebih berdaya saing di pasaran global.  Di samping itu,  Pusat Bimbingan Usahawan, Pusat Inkubator dan Pusat Aperantis terus diperkasakan dengan pengambilan pelajar dan peserta untuk dilatih menjadi usahawan tani yang berdaya saing.

Program Pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) akan terus diberi tumpuan pada tahun 2016. Ketiga-tiga TKPM di Telong, Batang Merbau dan Lojing akan terus diusahakan dan dinaiktaraf bagi meningkatkan produktiviti dari masa ke semasa. Sehingga kini pengeluaran hasil pertanian di TKPM adalah 4,819 Metrik Tan dengan nilai sebanyak RM8.7 juta.

Merujuk kepada keperluan tahap sara diri bagi Negeri Kelantan untuk tahun 2014, alhamdulillah, pengeluaran padi, buah-buahan dan sayur-sayuran melebihi tahap sara diri iaitu padi 116.9 % ,buah-buahan 167.3 % dan sayur-sayuran 78.0 %.

Program pembangunan tanah-tanah terbiar akan terus diberi penekanan. Tanah-tanah terbiar ini akan dibangunkan untuk kegiatan ekonomi rakyat khususnya untuk tanaman pelbagai jenis sayuran, buah-buahan dan padi. Sehingga kini, seluas 497.0 hektar tanah terbiar telah pun berjaya dipulihkan dan dibangunkan.

 Bagi tahun 2016,  sejumlah RM2.36juta diperuntukkan di bawah Jabatan Pertanian Negeri untuk melaksanakan pelbagai program pertanian yang dirancang. Sebanyak RM940 ribu diperuntukan bagi Promosi Pertanian dan Latihan, RM320 ribu bagi Hari Peladang Kebangsaan/Negeri.  Lain-lain peruntukan prasarana yang berkaitan pertanian turut diperuntukkan dibawah lain-lain agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri dan Pejabat Pembangunan Negeri.

MEMACU SEKTOR PENTERNAKAN

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus memberi penekanan dalam pembangunan sektor penternakan khususnya dalam penyediaan kemudahan dan galakan agar lebih banyak pihak melibatkan diri dalam pengeluaran ternakan di negeri ini.

Pada tahun 2015, sub-sektor ternakan ruminan, khususnya lembu pedaging terus berkembang. Negeri Kelantan masih mengekalkan kedudukan sebagai negeri ketiga terbesar di Malaysia dari segi populasi lembu pedaging, kambing dan bebiri. Negeri Kelantan masih menjadi negeri yang terunggul di Malaysia dari segi pengeluaran baka-baka lembu pedaging kacukan yang bermutu tinggi.

Kerajaan Negeri juga melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar  telah mengenalpasti bidang yang mempunyai prospek untuk dikembangkan. Skim Pawah Ternakan yang telah bermula semenjak tahun 1961 merupakan program yang terawal dan masih relevan dalam mengembangkan industri ternakan di negeri ini. Kerajaan  bercadang untuk menambahbaik skim ini melalui konsep “breedlot” yang memberi penekanan kepada pembiakan induk-induk lembu kacukan yang berkualiti secara semi intensif menggunakan sisa-sisa pertanian yang ditambahbaik kualiti sebagai sumber makanan utama. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.92 juta dibawah Rancangan Perkembangan Perusahaan Pedaging bagi tahun 2016.

Kerajaan juga memperuntukan sebanyak RM2.0 juta untuk  Program Galakan Pertanian dan Penternakan,  dan RM300 ribu untuk Rancangan Perkembangan Perusahaan Lembu dan Kambing Tenusu di bawah Pejabat Pembangunan Negeri dan juga Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Program-program ini diharap dapat meningkatkan pengeluaran makanan dalam negeri disamping membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan rakyat miskin.  Dengan pelbagai usaha serta input yang disediakan, diharapkan industri penternakan di negeri ini akan terus mengalami perkembangan yang lebih tinggi di masa hadapan.

MEMACU PEMBANGUNAN SEKTOR PERIKANAN

Satu lagi sektor yang akan terus diberi perhatian oleh Kerajaan adalah sektor perikanan. Sektor ini memainkan peranan besar sebagai salah satu sektor penyumbang bagi bekalan protin kepada negara. Kelantan merupakan negeri yang mempunyai kawasan perairan perikanan yang luas sehingga 200 batu nautika ke Tengah Laut China Selatan.

Dalam pembangunan sektor perikanan, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perikanan Negeri akan meneruskan program pembangunan perikanan seperti Program Peningkatan Pendapatan Nelayan Pantai melalui Projek Akuakultur Ternakan Ikan Marin Dalam Sistem Sangkar Berteknologi Tinggi, Program Pelepasan Benih Ikan di Perairan Umum bagi memperkayakan sumber perikanan di perairan umum di Kelantan, Persijilan Malaysia Good Aquaculture Practice (MyGAP) kepada semua produk ternakan yang dihasilkan bagi menjamin produk berkenaan selamat untuk dimakan dan berkualiti baik, Program Pengukuhan Sukarelawan Perikanan Negeri dan Program Memperkaya Sumber Perikanan Marin yang menggunakan tukun dan unjam untuk meningkatkan sumber marin di lautan. Untuk tujuan ini Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM828 ribu.

PEMBANGUNAN USAHAWAN YANG BERDAYA SAING

Bajet kali ini juga memberi penekanan kepada langkah-langkah untuk melahirkan generasi usahawan yang berkualiti tinggi dan berdaya saing. Untuk mencapai matlamat tersebut, pada tahun 2016, sebanyak  RM2.5 juta diperuntukan di bawah Program Usahawan Berdikari yang menggabungkan lima program pembangunan usahawan iaitu Program Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan, Galakan Usahawan, Skim Bina Usahawan, Program Pembangunan Kemahiran Usahawan dan Galakan Perdagangan. Sebanyak RM900 ribu disediakan untuk Projek Infrastruktur Usahawan dan RM150 ribu untuk Program Pembangunan Usahawan Tani. Disamping itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM2.5juta dalam bajet 2016 untuk membina dan membaiki pasar dan gerai di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kelantan bagi membantu usahawan-usahawan kecil dan sederhana memasarkan produk-produk perniagaan mereka.

MERANCAKKAN INDUSTRI PELANCONGAN

Sektor pelancongan masih kekal sebagai sektor utama dalam menjanakan ekonomi negeri Kelantan serta memberi peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat tempatan.  Stastistik kedatangan pelancong ke Kelantan sehingga Ogos 2015 adalah seramai 3.4 Juta dan dijangka mencapai 5 Juta Pelancong sehingga hujung tahun 2015.

 Dalam usaha untuk meningkatkan kemasukan pelancong ke Kelantan, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Tahun Melawat Kelantan 2016. Pelbagai persiapan telah dibuat dari segi Infrastruktur pelancongan, produk-produk pelancongan dan acara-acara yang menarik bakal diadakan pada tahun hadapan.

 Bagi menjayakan Tahun Melawat Kelantan 2016, saya menyeru supaya semua jabatan, agensi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberi tumpuan khusus kepada industri ini, dengan menanam cakna “Think Tourism” iaitu mengambil kira faktor pelancongan dalam setiap projek yang akan diadakan. Pihak Berkuasa Tempatan perlu menjaga  produk-produk pelancongan yang ada dalam kawasan masing-masing dengan mempertingkatkan tahap kebersihan dan kecerian.

Bagi tahun 2016 Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sejumlah RM3.6 juta bagi Program Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, RM200 ribu bagi Galakan Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan serta RM500 ribu bagi Projek Pembangunan Kampung Tradisional.

Kerajaan juga komited untuk menjadikan pantai-pantai di Kelantan sebagai salah satu destinasi pelancongan utama negeri. Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta bagi  projek pencegahan hakisan pantai melalui pembinaan groin di kawasan-kawasan pantai yang berisiko.

TERAS KETIGA: PEMBELAAN GOLONGAN DHAIF DAN MISKIN, ORANG KELAINAN UPAYA, ARMALAH DAN WARGA EMAS  

MEWUJUDKAN MASYARAKAT PENYAYANG

Maksudnya: Tahukah engkau akan orang yang mendustakan ugama? orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan kepada orang miskin. Maka Kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat (laitu) mereka yang lalai daripada menyempurnakan solatnya (juga bagi) orang-orang yang menunjuk-nunjuk amalannya, serta orang-orang yang tidak membantu kepada orang yang berhak menerimanya). (Surah Al-Ma’un: 1-7)

 Sesuai dengan motto Kerajaan Negeri hari ini “Keberkatan, Kemakmuran, dan Kebajikan”, adalah menjadi agenda utama Kerajaan Negeri Kelantan untuk terus  membantu  golongan dhaif dan miskin, orang kelainan  upaya, armalah dan warga emas. Oleh itu, dalam bajet 2016, sebanyak RM2.55 juta telah diperuntukan di bawah program pembelaan rakyat miskin, RM3.3 juta untuk program Al-It’am (bantuan bekalan beras) dan RM1.8 juta untuk bantuan baja. Sejumlah RM800 ribu juga diperuntukkan bagi program kesihatan rakyat miskin seperti bantuan penyakit kronik, kempen kesedaran kesihatan dan program baru yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri iaitu Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR) bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat Kelantan.

Sebagaimana tahun-tahun yang lepas, Kerajaan negeri tidak lupakan golongan belia sebagai generasi pewaris masa hadapan. Budget 2016 memperuntukkan sebanyak RM3.0 juta bagi Program Pembangunan Belia dan RM2.5 juta lagi di bawah Program Pembangunan Sukan.

Kerajaan Negeri tidak mengkesampingkan masyarakat bukan Islam didalam program-program anjuran Kerajaan Negeri. Oleh itu, bajet 2016 memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta kepada Program Masyarakat Bukan Islam.

Bermula pada tahun 2015, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif membantu memudahkan urusan perjalanan para jemaah haji Negeri Kelantan dengan menyediakan penerbangan khas para jemaah dari Kota Bharu terus ke Jeddah, Mekah. Diharapkan dengan penyediaan kemudahan ini sedikit sebanyak dapat membantu para jemaah haji negeri melaksanakan rukun Islam kelima dengan lebih lancar dan selesa. Kerajaan Negeri akan terus membantu pada tahun-tahun hadapan dengan  memperuntukkan sebanyak RM500 ribu bagi tujuan berkenaan dalam bajet 2016.

Kerajaan turut meneruskan tradisi bagi membela golongan Armalah (Ibu Tunggal)  dan Anak Yatim dengan peruntukan sebanyak RM5.0 juta bagi tahun 2016 berbanding RM4.5 juta pada tahun 2015. Kerajaan juga telah menambahkan peruntukan Bantuan Am Bulanan (Al-Musa’adah) daripada RM9.92 juta kepada RM10.60 juta bagi tahun 2016. Peruntukan-peruntukan ini disediakan sesuai dengan hasrat memupuk masyarakat penyayang,  selari dengan tuntutan Islam kearah mewujudkan masyarakat dan negeri sejahtera. Walaupun dalam keadaan kewangan negeri yang agak terhad, Kerajaan komited dan akan terus menyediakan peruntukan-peruntukan bagi tujuan pembelaan rakyat dan kesejahteraan rakyat.

Bajet 2016 juga  menyediakan peruntukan sebanyak RM100 ribu bagi program baru Latihan Sukarelawan kepada para sukarelawan Kelantan untuk menghadapi bencana alam yang melanda negeri sepertimana bencana banjir dan sebagainya.

PERUMAHAN UNTUK GOLONGAN KURANG BERKEUPAYAAN

Kerajaan sedar bahawa harga pasaran rumah sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin akan permasalahan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah, Kerajaan Negeri memberi tumpuan khusus untuk mengadakan Projek Perumahan Mampu Milik kepada rakyat Kelantan.

 Atas dasar itu, Kerajaan Negeri telah melancarkan program Rumah Mampu Milik Kelantan pada bulan Februari 2014. Kerajaan juga  telah menyediakan satu dasar Rumah Mampu Milik sebagai garis panduan kepada pihak Berkuasa Tempatan, agensi-agensi teknikal dan pemaju di dalam merancang dan mengawal pembangunan projek-projek Perumahan Mampu Milik di Negeri Kelantan. Dasar Rumah Mampu Milik Kelantan adalah untuk menyediakan dan menawarkan jenis-jenis rumah yang mampu dimiliki, mencukupi, berkualiti, berdayahuni dan berlandaskan ciri-ciri islam demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
Bagi meneruskan hasrat tesebut, satu peruntukan berjumlah RM9.0 juta disediakan kepada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dalam bajet 2016 untuk melaksanakan usaha-usaha membangunkan Perumahan Awam Mampu Milik.

Program ini akan dilaksanakan melalui dua (2) agensi iaitu Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Kerajaan juga mempelawa pihak swasta yang berminat dan berkemampuan untuk mengadakan perkongsian strategik bagi menyediakan Rumah Mampu Milik.

Bajet “KEBERKATAN MEMBAWA KEMAKMURAN” 2016 juga menyediakan peruntukan sebanyak RM6.4 juta bagi program Bantuan Rumah Dhuafa’  yang diperuntukkan bagi tujuan penyenggaraan rumah-rumah dan  pembinaan rumah di setiap Dewan Undangan Negeri untuk membantu meringankan beban rakyat yang kurang berkeupayaan untuk membaiki dan mendapatkan rumah sendiri.

MEMPERKASAKAN WANITA

Bajet 2016 juga tidak mengenepikan kebajikan dan keperihatinan Kerajaan kepada kaum wanita. Kerajaan sentiasa berikhtiar untuk memastikan kaum wanita di Kelantan amnya akan terus maju  dalam semua bidang.  Sehubungan dengan itu, Kerajaan  menyediakan peruntukan sebanyak RM5.50 juta dibawah Program  Pembangunan Keluarga dan Wanita yang  meliputi program/sumbangan pembangunan dan kebajikan wanita, program kebajikan keluarga dan masyarakat,  majlis perundingan wanita, bantuan bagi orang kelainan upaya (OKU), pendidikan awal kanak-kanak, latihan wanita, rumah perlindungan sinar harapan, program pembangunan jatidiri  penerima bantuan dan tabung usahawan wanita.

TERAS KEEMPAT: MENGUKUHKAN KEUPAYAAN INSTITUSI DAN BADAN    PELAKSANA BAGI TUJUAN PERTUMBUHAN

MEMPERTINGKATKAN SISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM
 
Maksudnya: Salah seorang di antara perempuan tersebut berkata: "Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah” (Al-Qasas:26)

Kerajaan Negeri sentiasa menghargai sokongan dan komitmen kakitangan sektor awam dan sumbangan mereka dalam pembangunan negeri. Beberapa program transformasi untuk pemantapan pentadbiran telah berjaya diperkenalkan malah mendapat pengiktirafan dari pihak Kerajaan Persekutuan. Antara program yang diperkenalkan dan terus menjadi amalan ialah Budaya Kerja Berprestasi Tinggi yang berpegang kepada  empat (4) teras utama iaitu; pengukuhan nilai dan etika yang berteraskan kepada Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan; perkhidmatan berteraskan pelanggan; hubungan majikan-pekerja dan persekitaran kerja yang kondusif dan juga Amalan Persekitaran Berkualiti (QE/5S). Pada tahun 2014, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah berjaya mecapai 5 bintang dalam penarafan “System Star Rating”(SSR) oleh pihak MAMPU dan dipersijilkan Pengurusan Aduan Cemerlang oleh Biro Pengaduan Awam.

Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan juga telah merangka Pelan Operasi Latihan (Training Road Map) Perkhidmatan Awam Negeri Kelantan (2015-2020) yang akan menjadi panduan kepada setiap anggota perkhidmatan awam negeri bagi mengetahui kursus-kursus dan program-program yang perlu dihadiri sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Satu rangka Pemetaan Latihan (Training Map) Perkhidmatan Awam Negeri disediakan meliputi semua skim perkhidmatan yang terlibat. Antaranya Training Road Map untuk Pegawai Tadbir Negeri Kelantan, Akauntan, Penolong Pegawai Tadbir, Setiausaha Pejabat, Pemandu Kenderaan, Pegawai Keselamatan dan lain-lain.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM1.5 juta bagi tahun 2016 berbanding RM1.0 juta bagi tahun 2015 untuk pembangunan kompentensi pegawai perkhidmatan awam negeri.

TERAS KELIMA: PENGUKUHAN KEWANGAN NEGERI

BAJET NEGERI TAHUN 2016
 
Maksudnya: Yusuf berkata: "Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku sedia bertanggungjawab dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirnya". (Yusoff: 55)

Bajet Negeri Kelantan tahun 2016 merupakan belanjawan defisit di mana perolehan hasil yang dianggarkan bakal diperolehi ialah berjumlah RM593.80 juta, manakala perbelanjaan mengurus dianggarkan berjumlah RM639.41 juta.  Oleh itu defisit bagi tahun 2016 dijangka berjumlah RM45.61 juta,  berbanding dengan anggaran defisit dalam bajet tahun 2015 yang berjumlah RM70.69 juta.

Anggaran Hasil Tahun 2016 sebanyak RM593.80 juta telah menunjukkan peningkatan hasil berbanding Anggaran Hasil Tahun 2015 yang berjumlah RM530.83 juta. Peningkatan hasil berkenaan dianggarkan dapat menampung sebahagian kenaikan perbelanjaan mengurus menyebabkan penurunan anggaran defisit pada tahun 2016 berbanding tahun 2015.

ANGGARAN HASIL TAHUN 2016

Anggaran hasil negeri pada tahun 2016 dijangka akan diperolehi sebanyak RM593.80 juta yang meliputi Hasil Cukai sebanyak RM163.49 juta,  Hasil Bukan Cukai sebanyak RM289.45 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM140.86 juta.

Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM62.97 juta ataupun sebanyak 11.86 peratus berbanding dengan Anggaran Hasil Tahun 2015 yang berjumlah RM530.83 juta. Hasil Hutan merupakan penyumbang terbesar dengan jumlah RM172.96 juta atau 29.12 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil. Ia menunjukan peningkatan sebanyak RM58.05 juta jika dibandingkan anggaran belanjawan tahun 2015 iaitu sebanyak RM114.91 juta. Peningkatan ini adalah anggaran Bayaran Perdagangan Karbon yang dijangka dapat dikutip sebanyak RM50.0 juta apabila Kerajaan Negeri secara dasarnya telah meluluskan hasil berkenaan. Projek ini dapat memberikan pelbagai manfaat kepada Kerajaan Negeri Kelantan dari faedah kewangan tanpa melibatkan apa-apa kos dan menanggung sebarang risiko disamping dapat memelihara dan mengekalkan khazanah hutan Negeri Kelantan dalam menjamin kesejahteraan masyarakat dan kestabilan alam sekitar.

Hasil hutan lain juga meliputi royalti kayu-kayan yang akan menyumbangkan sebanyak RM30.0 juta,  bayaran jabatan hutan sebanyak RM20.0 juta, permit lesen perhutanan menyumbang RM1.0 juta sementara premium perhutanan pula sebanyak RM70.00 juta.

Penyumbang hasil kedua terbesar pula adalah Hasil tanah berjumlah RM136.98 juta atau 23.07 peratus, meliputi pungutan cukai tanah sebanyak RM42.2 juta, premium tanah  RM47.20 juta, bayaran pendaftaran  RM7.22 juta serta notis dan denda lewat bayaran cukai tanah sebanyak RM6.73 juta.

Manakala Terimaan Dari Agensi Kerajaan menyumbang sejumlah RM112.40 juta atau 18.93 peratus, Terimaan Lain-lain sejumlah RM87.88 juta atau 14.80 peratus, Hasil perlombongan RM62.50 juta atau 10.53 peratus, Hasil Air RM13.0 juta atau 2.19 peratus, Hasil pelaburan RM4.76 juta atau 0.80 peratus dan Hasil Rumah Awam Kos Rendah RM3.34 juta atau 0.56 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil tahun 2016.

Kerajaan akan meneruskan usaha-usaha untuk meningkatkan kesedaran kepada pemilik-pemilik tanah agar menjelaskan premium dan cukai tanah serta tunggakan menerusi kempen dan usaha bersepadu oleh semua Pejabat Tanah. Ini bertujuan untuk mempertingkatkan kecekapan dalam urusan kutipan hasil dan cukai disamping mengenalpasti punca-punca hasil baru. Kesungguhan Kerajaan menerusi penubuhan pasukan petugas khas serta peruntukan peralatan, kewangan dan kakitangan dijangka mampu menjana peningkatan pungutan hasil.

Selaras dengan usaha tersebut, Kerajaan Negeri juga berharap agensi-agensi negeri seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) akan terus berusaha untuk mempertingkatkan hasil atau mencari punca hasil baru. Mereka perlu kreatif dan proaktif dalam usaha ini supaya dapat berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada sumber bantuan Kerajaan Negeri.

ANGGARAN PERBELANJAAN MENGURUS TAHUN 2016

Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tahun 2016 berjumlah sebanyak RM639.41 juta berbanding sebanyak RM601.51 juta dalam tahun 2015, iaitu meningkat sebanyak RM37.9 juta atau 6.30 peratus,  merangkumi Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM24.14 juta dan Perbelanjaan Bekalan berjumlah RM615.27 juta.

Dari jumlah tersebut, RM331.19 juta atau 51.80 peratus adalah untuk Pemberian dan Kenaan Tetap, RM185.63 juta atau 29.03 peratus untuk Emolumen, RM100.87 juta atau 15.77 peratus bagi Perkhidmatan dan Bekalan, RM19.51 juta atau 3.05 peratus untuk Aset dan RM2.21 juta atau 0.35 peratus untuk Lain-Lain Perbelanjaan.

Selaras dengan dasar serta tema Bajet 2016 iaitu “Keberkatan Membawa Kemakmuran”, Kerajaan telah meneliti secara terperinci anggaran belanjawan jabatan bagi mempastikan peruntukan yang disediakan adalah merupakan keperluan sebenar jabatan dengan mengambilkira kenaikan kos-kos pengurusan. Oleh yang demikian, perbelanjaan mengurus bagi tahun 2016 telah dapat disediakan ke paras yang amat munasabah dan memenuhi keperluan sebenar setiap jabatan. Oleh itu, setiap anggota perkhidmatan awam negeri perlu bersedia dan turut menyumbang ke arah peningkatan prestasi dan produktiviti kerja dalam usaha memenuhi kehendak rakyat selaku pelanggan utama kerajaan.

ANGGARAN PERBELANJAAN PEMBANGUNAN TAHUN 2016

Peruntukan pembangunan bagi tahun 2016 adalah berjumlah sebanyak RM277.22 juta yang dibiayai dibawah peruntukan negeri termasuk sebanyak RM90.0 juta daripada sumber pinjaman. Kerajaan Negeri akan terus memberi fokus dan penekanan kepada usaha mempertingkatkan penyediaan prasarana dan kemudahan bagi memajukan tahap sosio-ekonomi rakyat jelata berasaskan kepada kemampuan kewangan Kerajaan Negeri.  

PENUTUP

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyampaikan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun, Penguasa-Penguasa Tempatan, Pegawai dan Anggota Keselamatan, Pemimpin-Pemimpin Masyarakat dan seluruh rakyat negeri Kelantan ini yang telah sama-sama berusaha untuk mewujudkan kesatuan, keamanan, kemakmuran serta kesejahteraan hidup di negeri yang kita sayangi ini.

Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah S.W.T menjadikan Belanjawan Negeri  Kelantan Tahun 2016 yang bertemakan “KEBERKATAN MEMBAWA KEMAKMURAN” yang dibentangkan ini agar dilimpahi rahmat dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun;

    Negeri Kelantan sudah ternama
    Kaya dengan budaya ketimuran
    Segala rahmat nikmat bersama
    Moga keberkatan membawa kemakmuran

اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ وُلاَةَ أُمُوْرِ الْمُسْلِمِيْنَ، وَوَفِّقْهُمْ لِلْعَدْلِ فِيْ رَعَايَاهُمْ وَالرِّفْقِ بِهِمْ وَالاِعْتِنَاءِ بِمَصَالِحِهِمْ وَحَبِّبْهُمْ إِلَى الرَّعِيَّةِ وَحَبِّبِ الرَّعِيَّةَ إِلَيْهِمْ وَاجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ آمِناً مُطْمَئِنًّا سَخَاءً رَخَاءً وَسَائِرَ بِلاَدِ الْمُسْلِمِينَ.

“Ya Allah, perbaikilah sikap para pemimpin kaum muslimin, bimbinglah mereka dalam menegakkan keadilan, menyayangi dan mendalami kepentingan rakyat. Tumbuhkan kecintaan mereka kepada rakyat dan rakyat kasih kepada mereka serta jadikanlah negeri ini dan negeri-negeri kaum muslimin lainnya aman dan tenteram”.

Saya Mohon Mencadangkan.

أَقُولُ قَوْلِيْ هَذَا، وَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ والْسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Perbendaharaan Negeri Kelantan: 3 November 2015

Share on Myspace