GST tanggung 35 anggota jemaah menteri

DATUK MAHFUZ OMAR | .

BAJET 2016 sepatutnya dibentangkan dengan diiringi pengecilan jumlah anggota jemaah menteri. Pengurangan ini sangat penting kerana jumlah anggota kabinet kerajaan Malaysia terlalu besar jika dinisbahkan dengan jumlah penduduk Malaysia yang hanya berjumlah 30 juta orang berbanding dengan negara negara maju di dunia.

Persoalannya, apakah negara Malaysia memerlukan sejumlah 35 orang Menteri seperti yang sedia ada untuk menguruskan negara yang rakyatnya tidak melebihi 30 juta penduduk.

Berbanding dengan negara maju dan besar seperti Jepun 16 Menteri untuk rakyatnya 127 juta, Amerika Syarikat 18 Menteri untuk rakyatnya 313 juta penduduk, United Kingdom dengan hanya 25 orang Menteri dengan rakyatnya 63 juta penduduk, manakala India dengan memiliki penduduk  1.2 bilion hanya mempunyai 32 Menteri. Sedangkan Malaysia dengan rakyat tidak melebihi 30 juta mempunyai 35 orang Menteri Kabinet dan 27 Timbalan Menteri.

Jadi kenapa Malaysia perlu berbelanja mewah untuk menanggung 35 orang Menteri dan 27 Timbalan Menteri dengan mengguna wang pembayar cukai termasuk pembayar cukai GST. Wang pembayar cukai disalahguna untuk menyuap mulut dan mengembung perut Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri.

Sedangkan mereka gagal meningkat taraf hidup rakyat sebaliknya rakyat dan negara terpaksa menanggung beban daripada penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan pembaziran wang negara dengan pelbagai skandal kewangan yang berlaku.

Apa perlu Malaysia mempunyai dua orang Menteri Kewangan? Apa perlu dilonggokkan 10 orang Menteri di Jabatan Perdana Menteri? Apa perlu kita pisahkan kembali Kementerian Pendidikan dengan mewujudkan kembali Kementerian Pendidikan Tinggi?

Malaysia seharusnya mencontohi negara besar dan maju dengan saiz kabinet yang kecil dan jumlah menteri yang sedikit tetapi mampu melonjak pencapaian negara mereka. Malaysia dengan jumlah 35 orang Menteri dan 27 Timbalan Menteri sekadar berjaya mencari dan menambah pendapatan negara melalui GST ke atas rakyat serta melonjakkan pencapaian  dengan satu demi satu skandal-skandal besar negara.

Saya menuntut pengurangankan saiz kabinet dan mengurang jumlah Menteri daripada 35 orang kepada minimumnya 15 dan tidak melebihi 19 orang. PM juga tidak wajar lagi memegang Menteri Kewangan. Buang Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak berkualiti dan berintegriti.

Pengecilan saiz kabinet dan jumlah Menteri ialah untuk mengurangkan perbelanjaan negara, apatah lagi pada waktu rakyat sedang menanggung beban sara hidup yang tinggi akibat daripada GST dan kenaikan harga minyak.

Pengurangan perbelanjaan ini boleh diguna untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat. Cadangan ini juga untuk meningkatkan kecekapan bekerja dalam kalangan anggota kabinet dengan memilih mereka yang benar-benar berkebolehan dan berjiwa Malaysia. Cukuplah kerajaan berlagak mewah selama ini sedangkan rakyat hidup menderita. – HARAKAHDAILY 5/11/2015

Share on Myspace