Kenaikan elaun wajar dengan keadaan semasa

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyifatkan kenaikan elaun Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan anggota Exco kerajaan negeri wajar dengan keadaan semasa.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata kenaikan saraan baru itu diambil berdasar kedudukan kewangan kerajaan negeri.

“Kalau dikira peringkat awal Menteri Besar menolak elaunnya dinaik sehingga RM18,000 sebulan, beliau meminta dipotong kepada RM15,000.

“Elaun anggota Exco dan Menteri Besar sudah menjadi peraturan pentadbiran lebih tinggi berbanding dengan wakil rakyat biasa.

“Kalau elaun Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan anggota Exco sama dengan Adun, jadi elaun wakil rakyat kena lebih rendah lagi,” katanya selepas persidangan Dun hari ini.

Adun Salor Datuk Husam Musa semalam menyifatkan kenaikan elaun Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan anggota Exco tidak sesuai berdasar suasana ekonomi semasa.

Beliau mempersoalkan mengapa Menteri Besar, timbalannya dan anggota Exco turut mengambil kesempatan dinaikkan elaun sama serupa wakil rakyat biasa.

Mohd Amar juga berkata sekiranya ada wakil rakyat yang tidak bersetuju dengan kenaikan tersebut mereka boleh menulis surat kepada kerajaan bagi menolak elaun baru.

Pada Isnin lepas Dun Kelantan melulus elaun saraan baru Adun dan anggota pentadbir kerajaan negeri termasuk Speaker, timbalannya dan Setiausaha Politik Menteri Besar.

Sekarang elaun Adun sebanyak  RM4,600 ditambah kepada RM8,000 sebulan.

Elaun saraan anggota Exco dan Speaker Dun pula daripada RM6,000 kepada RM10,000.

Enakmen Saraan Anggota-anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Dewan Negeri (Pindaan 2015) berkuatkuasa 1 Januari 2016. - HARAKAHDAILY 5/11/2015

Share on Myspace