Bajet 2016: Royalti Kelantan mesti disebut

HARAKAHDAILY | .

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya berucap untuk memperdebatkan Bajet 2016 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 28 Oktober 2015 bersamaan 10 Muharram 1437 Hijrah. Saya petik ayat yang dibaca oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dengan maknanya... [Membaca sepotong ayat al-Quran] Surah An-Nisa’, ayat ke-58, yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha mendengar dan Maha melihat”.  Tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana memetik ayat ini untuk dimulakan ucapan bajet yang telah dibacakan oleh beliau.   

Tuan Yang di-Pertua, setelah kita merdeka, kerajaan kita Malaysia telah mentadbir urus negara sehingga ke hari ini. Berbagai-bagai-bagai cabaran, turun naik yang dirasai dan pada hari ini kita merancang lagi untuk meneruskan pembangunan negara dan memakmurkan kehidupan rakyat Malaysia semuanya.  

Dalam ucapan Bajet Perdana Menteri dan buku-buku yang diedarkan mengenai perincian pendapatan anggaran perbelanjaan, laporan ekonomi dan lain-lain lagi banyak yang saya sendiri belajar dan kita boleh pelajari bagaimana ekonomi negara sekarang sedang diurus oleh kerajaan. Jadi terangkan bahawa pengurusan mikro ekonomi negara ialah tujuannya untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi, menguruskan impak ketidaktentuan luaran yang berlaku dan seterusnya untuk menjamin kesejahteraan kehidupan rakyat dan ekonomi negara yang terbuka menyebabkan negara ini dipengaruhi oleh perkembangan-perkembangan yang berlaku di dunia dan juga di dalam negara kita Malaysia.  

Kita tahu masalah-masalah yang dihadapi dunia sekarang seperti kelembapan di negara China, Jepun dan Eropah. Kita tahu juga akan penurunan harga minyak dan harga-harga komoditi penting dalam negara dan kita tahu bahawa Amerika Syarikat tidak pasti sama ada mereka akan mengadakan dasar yang baru kepada pentadbiran monetari mereka. Mungkin akan menyebabkan mereka batuk di sana, kita di sini demam dan banyak lagi keadaan yang sedang berlaku sekarang yang pada keseluruhannya bacaan pakar-pakar ekonomi memberikan gambaran bahawa kita sedang berhadapan dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu. Ini akan memberi kesan yang besar kepada negara kita.  

GST

Tuan Yang di-Pertua, antara pembaharuan fiskal yang dilakukan oleh kerajaan beberapa tahun ini pertama ialah rasionalisasi subsidi dan perbelanjaan.  Kedua ialah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan iaitu GST.

Saya ingin bercakap sedikit tentang GST ini. Dijangkakan bahawa hasil daripada GST pada tahun 2016 ialah sebanyak lebih kurang RM39 bilion, dengan izin. Ia sedikit-sebanyak akan menampung kekurangan daripada ketidakhasilan hasil daripada industri minyak dan gas dan juga disebabkan oleh harga dan lain-lain masalah yang menyebabkan kekurangan hasil negara yang dijangka pada tahun hadapan.  Sebagaimana yang kita tahu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengatakan inilah yang menyelamatkan kita dalam kita merancang fiskal kita pada tahun depan, yang menyelamatkan kita ialah GST. Dijangka inshaaAllah, defisit negara akan boleh dikurangkan sedikit kepada 3.1% atau 3.2% daripada KDNK negara.

Saya masih ingat ketika Parlimen meluluskan pelaksanaan GST kita. Kita difahamkan bahawa GST sesuai dilaksanakan ketika ekonomi negara berkembang dengan baik. Dan pada masa itu, itulah yang diberitahu oleh Timbalan Menteri Kewangan kepada kita.   

Dalam keadaan ekonomi yang berkembang dengan baik, rakyat makmur, pendapatan yang banyak maka ketika itulah masa yang paling baik untuk kita laksanakan GST.  Akan tetapi dalam masa tidak sampai satu tahun setelah pelaksanaan GST dimulakan keadaan berubah menjadi keadaan gawat dengan masalah-masalah ekonomi yang ada sekarang.

Ini menyebabkan GST itu menambah beban kepada rakyat. Ini dirasai oleh semua. Saya tanya semua orang, semua kata GST membawa beban kepada rakyat, membebankan mereka.  Saya tidak pernah jumpa lagi seorang kecuali dia itu orang kaya, dia tidak cara perbelanjaan dia itu, harian dia itu bebas. Dia tidak perlu berfikir berapa senkah dia belanja? Dia tidak berkira berapa banyak dia habis hari ini dan esok. Bagi manusia macam itu kita letak di tepi tetapi kebanyakan orang-orang yang berpendapatan rendah dan sederhana mereka merasai beban GST ini.   

Jadi, dengan kenaikan harga barang dan kenaikan harga perkhidmatan ini menyusahkan rakyat. Oleh sebab itu, seboleh-bolehnya kita kena tangguhkan dahulu pelaksanaan GST atau kita kenakan GST ini pada kadar sifar ke atas barang-barang atau servis-servis yang diperlukan oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Saya tidak sampailah mengatakan bahawa kadar sifar kepada semua tetapi kalau boleh kepada semua barang-barang yang kita perlukan...

Dr. Haji Noor Azmi bin Ghazali [Bagan Serai]:  Yang Berhormat Pasir Puteh.   

Dato' Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh]: ...Atau servis-servis yang diperlukan oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.   

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Bagan Serai bangun.   

Dr. Haji Noor Azmi bin Ghazali [Bagan Serai]: Bagan Serai.   

Dato' Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh]: Yang Berhormat Bagan Serai sudah lima jam bercakap.  Saya baru lima minit tidak sampai.  Ada 15 minit lagi, tidak sempat.  Minta maaf.

Dr. Haji Noor Azmi bin Ghazali [Bagan Serai]:  Seminit sahaja.   

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee]: Tidak bagi jalan lah itu Yang Berhormat.   

Dato' Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh]: Banyak lagi. Masa, masa nanti Tuan Yang di-Pertua marah saya. Terima kasih Yang Berhormat Bagan Serai. Lepas ini, lepas ini. Lepas habis tanya insya Allah. Itu tentang GST.

Saya ingin membaca satu ayat lagi daripada Al-Quran. Ini menerangkan tentang Nabi Daud. Kalau Nabi Daud kita tahu diangkat menjadi Raja. Di satu zaman dahulu dia diangkat menjadi Raja. Allah berfirman... [Membaca ayat Al-Quran] Bermaksud, “Wahai Daud, sesungguhnya kami telah menjadikan mu khalifah di muka bumi ini. Maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan yang benar yakni hukum yang diwahyukan kepadamu, hukum Allah, syariat Allah. Dan jangan engkau menurut hawa nafsu kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu”.   

Ayat ini memperingatkan sesiapa yang diangkat menjadi pemimpin, pemerintah, menjadi khalifah dan Allah menjadikan kita sebenarnya semua khalifah... [Bercakap dalam bahasa Arab] Dan kalau dia menjadi khalifah, Raja, pemimpin, Perdana Menteri maka dia mesti ingat ayat ini.  Ini nasihat kepada pemimpin supaya menghukum di antara manusia ini dengan kebenaran dan kebenaran itu adalah... [Bercakap dalam bahasa Arab] “Kebenaran itu daripada tuan engkau iaitu daripada Al-Quran dan hadis. Jangan sekali-kali engkau mengikut hawa nafsu mu.  Memang hawa nafsu mu tidak akan puas”. Kalau kita membuat kenduri kahwin anak kita dengan harga RM100,000 kenapa kita perlu buat dengan harga berjuta-juta? Tidak perlu. Misalnya, contoh.

Jangan mengikut hawa nafsu kita, tidak cukup. Kalau boleh hendak besar lagi. Tidak cukup ikut nafsu ini kerana mengikut nafsu itu akan menyesatkan kita dari jalan yang benar...   

Seorang Ahli: GST benar, cubalah.   

Dato' Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh]: Firman Allah lagi untuk memperingatkan kita sebagaimana Yang Berhormat Ketereh memberitahu bahawa sebenarnya siapa yang memerintah ini sudah ditentukan oleh Allah. Selama ini Allah menentukan bahawa Barisan Nasional memerintah sampai ke hari ini tetapi esok kita tidak tahu. Allah yang menentukan. Allah berfirman... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Bermaksud, katakanlah Allah yang memiliki segala kerajaan. Dia memberi kerajaan kepada orang yang dikehendaki dan Dia menarik kerajaan itu daripada orang yang dikehendaki hingga ke akhir hayat.

Ini semua kita baca selepas solat, kita kena sedar, jangan angkuh.   Sesiapa yang diangkat menjadi pemerintah bahawa dia diangkat untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini bukan untuk bermegah-megah dan hendak berkuasa mahu tunjuk hebat dia. Dia kena bertanggungjawab kepada Allah SWT, dia kena bertanggungjawab kepada Rasulullah dan dia kena bertanggungjawab kepada Muslimin, kepada rakyatnya yang diperintahnya... [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Beramallah...” “Qul”- katakan, beramallah kamu, buatlah kerja sebanyak mana, sebaik-baiknya.  

Sekarang kita bekerja kita hendak merancang untuk mengurus kewangan negara dan membawa kemakmuran kepada negara kita.  Kita buat betul-betul. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pegawai kerajaan yang menyediakan bajet ini. Kepada kerajaan juga terima kasih kerana tahu inilah tanggungjawab dan tugas. Kalau kita menjadi kerajaan kita juga akan menyediakan bajet ini. Kemudian kita akan bincangkan bajet ini dan kita akan berbincang untuk meluluskannya atau tidak.   

Saya di pihak pembangkang mesti kita akan mencari di mana kelemahan-kelemahannya supaya kita boleh baiki, ditolak dahulu, kita baiki insya Allah, boleh tiada masalah. Kalau majoriti setuju dengan bajet ini kita teruskan, tidak apa dan kita lihatlah kesannya kepada kita pada tahun yang akan datang.   

Kelantan

Tuan Yang di-Pertua yang dikasihi, saya ada beberapa isu. Kerana masa singkat saya straight kepada masalah dalam kawasan saya dan di negeri saya Kelantan.  Saya dengar di sini bermacam-macam-macam kompelin, aduan dari Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak.

Saya pergi ke Sabah dan Sarawak dan jika saya bandingkan dengan keadaan di Sabah dan Sarawak dengan Kelantan, kasihan Kelantan. Akan tetapi orang Kelantan ini kita menerima dengan terima kasih dengan wahab, dengan sabar apa sahaja yang kita ada alhamdulillah. Ini ketentuan Allah SWT.  Kita tidak banyak kompelin tetapi kita memilih pembangkang, itu sahaja di Kelantan. Kita menunjukkan bahawa kita tidak suka apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat kepada kita, kita pilih pembangkang.   

Kalaulah apa dilakukan oleh Kerajaan Pusat itu seperti mana dilakukan di negeri Pantai Barat saya rasa mungkin Kerajaan Kelantan bukan PAS. Mungkin lain, mungkin Kerajaan Pusat, tidak tahu tetapi kerana kezaliman, ketidakadilan yang dilakukan oleh Barisan Nasional inilah, maka kita rakyat Kelantan memilih PAS, pilih pembangkang...   

Tuan Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor]: Minta penjelasan sedikit.   

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee]:  Hendak bagi jalan Yang Berhormat.   
Dato' Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh]: Macam mana- saya pun tidak kacau...

Tuan Shabudin bin Yahaya [Tasek Gelugor]: Saya cuma hendak tanya orang Kelantan. Orang Kelantan ramai dekat Pulau Pinang, dekat Shah Alam, dekat- tempat-tempat lain macam mana?   

Dato' Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh]: Sebab itu kita berterima kasih juga kerana kita sebenarnya terus teranglah kita orang Kelantan ini kita boleh cari rezeki di mana-mana.

Kita mempunyai fikiran, kita mempunyai tenaga dan kita bebas untuk bergerak di seluruh Malaysia ini untuk mencari rezeki di bumi Allah ini dan alhamdulillah disebabkan ditindas di Kelantan, kita tersebar di seluruh Malaysia. Kita menguasai banyak tempat di Malaysia ini, alhamdulillah.   

Walau bagaimanapun, saya ingin menyebut jugalah keadaan di Kelantan yang ketinggalan. Ada beberapa perkara di kawasan saya di Pasir Puteh, kawasan Tok Bali. Kita di Kelantan amat memerlukan pelabuhan tetapi sampai ke hari ini kita tidak dibenarkan di bawah kuasa Kerajaan Pusat untuk membina pelabuhan di sana.  Kalau ada pelabuhan di sana, sudah tentu perniagaan, sudah tentu pembangunan akan pesat di negeri Kelantan. Kemakmuran ini akan sampai ke negeri Kelantan tetapi tidak dibenarkan.

Sekali lagi saya menyeru, saya merayu kepada Kerajaan Pusat, berilah kepada rakyat Kelantan sebuah pelabuhan di Tok Bali, kecil saja tidak apa asal kita boleh berniaga ke luar. Orang Kelantan ini orang yang pandai berniaga, insya Allah.

Kita boleh pergi ke Vietnam, boleh pergi Kemboja, dan akan membawa kekayaan ke Malaysia ini, dan itu yang diperlukan, membawa kemakmuran pada Malaysia. Itulah yang boleh kita sumbangkan melalui pelabuhan di Kelantan itu.  

Satu lagi Tuan Yang di-Pertua, jalan-jalan. Di Kelantan ini jalan-jalannya teruk. Kita datang dari Terengganu atau dari Pahang, masuk saja Kelantan jalan sudah berubah, lain, ini bukan Malaysia ini. Ini lain, negeri lain ini. Jalannya berliku-liku, berlubang-lubang dan macam-macam lagi. Jadi, adakah Kelantan ini negeri di dalam Malaysia atau tidak?

Lebuh raya

Kalau saya di Sabah, kerajaan kita di Sabah sudah lama saya minta kemerdekaan, biar kita urus sendiri kekayaan kita dan kita bina jalan-jalan, lebuh-lebuh raya yang cantik insya Allah untuk rakyat tetapi kerana kita ini sayang pada Malaysia. Ini tanah air kita, ini tempat kita hidup, kita akan mati dan akan pertahankan Malaysia, maka kita bersabar dan kita percaya satu hari nanti insya Allah jalanjalan di Kelantan ini akan diperbaiki.  

Jalan dari Kota Bharu ke Pasir Puteh, tembus pada dua carriageway terlalu sibuk dan sempit. Ada sedikit tempat sudah dibaiki, jambatan di Beluk ada dibaiki tetapi kita perlukan sepanjang jalan dan menyambung sampai ke Jerteh, ke Terengganu. Maka itu insya Allah akan memudahkan perjalanan dan memberikan kesenangan kepada rakyat Kelantan.  

Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar bin Haji Musa [Ketereh]: Yang Berhormat, sedikit.  

Dato' Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh]: Baiklah Yang Berhormat Ketereh. Sila.  

Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar bin Haji Musa [Ketereh]: Terima kasih, saya ucapkan. Tahniah atas ucapan Yang Berhormat Pasir Puteh. Nampak ada banyak perubahan daripada sebelumnya, alhamdulillah.  Saya cuma nak tanya Yang Berhormat, saya setuju sangat sebenarnya Kelantan sangat-sangat tertinggal dan saya harap kita sama-sama berjuang. Soalan saya, adakah dengan signal yang diberikan oleh Presiden PAS tentang hendak bekerjasama dengan kerajaan itu akan membawa harapan baru kepada kita di Kelantan? Satu.  Keduanya, saya terbaca sebuah poster yang disebarkan di Kelantan. Yang Berhormat ini disenaraikan di bawah PAN tetapi sekarang ini duduk di bawah PAS. Sebenarnya Yang Berhormat hendak ke mana?

Dato' Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh]: [Ketawa] Terima kasih Yang Berhormat Ketereh.

Sebenarnya ketika saya menjadi Exco di Kelantan dahulu, kita cukup rapat dengan Kerajaan Pusat. Kita datang berjumpa dengan Menteri dan meminta keperluan-keperluan kita. Akan tetapi disebabkan oleh orang-orang UMNO di Kelantan ini dia berdendam dengan kita. Dia kata jangan bagi. Menteri nak bagi dah, Menteri kata nak bagi tetapi minta maaflah Yang Berhormat, UMNO Kelantan jahat sangat [Ketawa]

Saya harap UMNO Kelantan akan berubah, insya Allah, menjadi orang lain insya Allah. Kalau kita berbaik sebagaimana Islam menyarankan kita supaya... [Membaca sepotong ayat AlQuran] Maka insya Allah kita akan bekerjasama untuk membawa kemakmuran dan kebaikan kepada rakyat kita.  

Tuan Yang di-Pertua, ada dua tiga perkara lagi. Saya minta sedikit lagi. Kemudian kita perlu pada jalan Kota Baharu-Kuala Krai itu, lebuh raya itu pada pendapat sayalah, kita negeri Kelantan ini miskin. Hasil kita tidak banyak. Kita akan banyak bergantung pada yang kayalah seperti Selangor dan lain-lain. Akan tetapi Kerajaan Pusat kita mempunyai bajet yang cukup banyak. Saya minta supaya jalan Kota Baharu-Kuala Krai ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat. Kasihan kepada kerajaan negeri, kasihan kepada kita yang meminta sedekah pada orang lain. Dikatakan lebuh raya rakyat, rakyat yang mengeluarkan RM1, RM2 ini, tidak cukup Tuan Yang di-Pertua.  

Jadi oleh sebab itu saya ingin minta supaya Kerajaan Persekutuan mengambil alih pembangunan lebuh raya ini dan membiayai sepenuhnya dari Kota Bharu sampai ke Gua Musang sampailah ke Central Spine. itu pun dalam perancangan kita, central spine ini penting, ini tulang belakang negara kita. Kalau patah tulang belakang, mati kita, mundur kita.

Oleh sebab itu saya harap insya Allah Kerajaan Pusat memberikan tumpuan supaya Central Spine ini disempurnakan secepat mungkin dengan sebaik-baiknya.  Kemudian hubungan kereta api ke luar dari negeri Kelantan, hubungan kereta api. Sampai hari ini tidak bergerak kereta api kita, sudah setahun setelah banjir. Saya tidak tahu apa jadi. Katanya dalam enam bulan boleh siap tetapi tidak siap-siap. Tidak boleh berjalan lagi dari Tumpat ke Kuala Lumpur. Jadi saya harap inshaaAllah pihak kerajaan akan berusaha secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah rel-rel ini supaya insya Allah perhubungan di antara Kota Bharu ke Kuala Lumpur ini akan dapat disiapkan secepat mungkin.  

Di Bandar Pasir Puteh Tuan Yang di-Pertua, perparitan di sana bermasalah. Kita tahu orang Kelantan ini miskin. Saya mengakulah kita miskin, baik kita mengaku miskin supaya orang kaya boleh bantu kita, supaya orang kaya boleh bersedekah dan mendapat pahala. Kalau kita tidak beritahu, bagaimana orang kaya hendak tahu, dia belanja tempat lain. Dia belanja untuk benda-benda yang tidak penting, benda-benda kemewahan, ini perkara darurat. Perkara darurat, parit saja untuk mengalirkan air tetapi kita tidak mampu untuk menyelesaikannya. Saya dengar-dengar ada juga peruntukan kata tetapi bila? Sepuluh tahun lagi, dua puluh tahun lagi.

Saya harap insya Allah secepat mungkin Kerajaan Pusat boleh membantu kawasan saya ini menyelesaikan masalah banjir sebab tempat-tempat lain banjir kilat dan sebagainya. Hujan sikit mula banjir di dalam bandar itu.  

Perumahan

Perkara yang seterusnya sedikit sahaja tentang perumahan. Di negeri Kelantan ini saya tidak tahulah berapa buah rumah yang disediakan oleh kerajaan. Projek PR1MA misalnya, kita ada 175,000 unit rumah yang akan dibina dan diharapkan insya Allah tahun depan ada 10,000 buah akan dibina tetapi berapa banyak di Kelantan. Saya pun tengok kiri kanan, tidak nampak, dalam Pasir Puteh tidak nampak. Juga rumah-rumah lain seperti rumah-rumah mesra rakyat, dikatakan 10,000 buah akan dibina tetapi di mana? Berapa buahkah di Kelantan?

Rumah perumahan Penjawat Awam 1Malaysia banyak akan dibina tetapi berapa di Kelantan.  Program Perumahan Rakyat, Rumah Generasi Kedua FELDA, FELCRA, beratus-ratus juta atau berbilion-bilion dibelanjakan untuk semua projek ini tetapi berapa buah rumah yang dibina di Kelantan.

Saya minta penjelasan daripada kerajaan supaya boleh beritahulah di Kelantan ada beberapa buah yang akan dibina pada tahun hadapan mengikut perancangan-perancangan ini dan berapakah yang sedang dibina. Khususnya pada tahun hadapan, berapa banyak yang akan dibina. Lebih-lebih lagi di dalam kawasan saya Pasir Puteh, saya tidak tahu, rakyat Pasir Puteh pun tidak tahu. Minta penjelasan daripada Menteri.  

Royalti Kelantan

Seterusnya mungkin yang kedua terakhir. Tuntutan royalti. Ini mesti disebut, tempat-tempat lain dapat, negeri-negeri lain dapat royalti. Di Kelantan saya rasa tidak banyak royalti Kelantan itu, sedikit saja tetapi sedikit sebanyak insya Allah, ia boleh membantu kerajaan negeri untuk membantu sekolah-sekolah agama rakyat, membantu program-program orang miskin, membantu program Al-It’aam. Al-It’aam ini program kita memberikan beras kepada orang miskin e-Tegar dalam kawasan kita, 100 orang satu DUN tidak mengira parti, tidak mengira bangsa, kalau mereka ini e-Tegar kita pilih 100 orang, kita beri beras sekampit sebulan.  

Kita minta daripada Kerajaan Pusat supaya memberikan kepada kita supaya membeli daripada Kerajaan Pusat beras ST15 tetapi sedihnya tidak dibenarkan. Kita terpaksa beli beras ST10 atau ST5, terpaksa beli dengan harga yang lebih mahal. Sedangkan ini adalah untuk orang miskin tetapi tidak diberikan. Itulah nasib kita di Kelantan. Tidak apa walau bagaimanapun kita diberitahu bahawa ST15 ini akan dihapuskan sepenuhnya.  

Saya berterima kasih kerana memang subsidi yang diberikan oleh kerajaan ini bukan sampai kepada rakyat, tidak sampai kepada rakyat tetapi sampai kepada pengilang-pengilang, tidak menguntungkan rakyat. Terima kasih kepada kerajaan atas kebijaksanaan rasionalisasi subsidi ini penuh tepat pada masa masanya.  

Maqasid syariah

Kemudian saya hendak sebut juga tentang maqasid syariah. Ini mungkin penutup saya.  Saya percaya bahawa syariat itu undang-undang daripada Allah SWT. Perintah Allah yang kita orang Islam wajib, bukan sunat, bukan ada pilihan untuk kita tidak melaksanakan, wajib kita laksanakan. Akan tetapi kita tahu bahawa banyak urusan kita termasuklah bajet kita ini yang kita rancang ini, mungkin tidak ada rupa-rupa yang jelas daripada syariat itu sendiri.  Yang ada hanyalah hukum-hukum yang umum tetapi yang kita boleh dapat daripada Islam ialah maksud hukum syariah itu sendiri yang kita mesti laksanakan dalam setiap aktiviti kehidupan kita termasuklah aktiviti kerajaan untuk mentadbir negara ini, mestilah bertepatan dengan maqasid syar’iah.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana mula menggerakkan maqasid ini dan menilai segala kewajipan kerajaan dengan mengutamakan semua kewajipan itu mestilah bertepatan dengan objektif utama dengan syariah itu sendiri iaitu maqasid syar’iah iaitu untuk menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta. Menjaga harta ini- inilah yang kita rancang agar jangan ada di sana itu penyalahgunaan kuasa, untuk merampas harta orang lain.

Kita mesti memberikan hak kepada orang itu, orang itu mempunyai hak atas harta mereka maka kita mesti memberikan kebebasan pada dia untuk menikmati hartanya, untuk dia mengusahakan hartanya, untuk dia mengembangkan hartanya.  Inilah yang kita mesti galakan, jangan pula kita mengambil harta mereka dan kita masuk dalam poket kita dan kita menggunakan harta ini dengan cara yang salah di sisi agama.   

Saya berharap, insya Allah apa sahaja yang kita lakukan, saya minta kita di pihak Kerajaan atau di pihak pembangkang, kita menegur, kita menasihati, dan kita akan terus melihat di mana sahaja kekurangan yang ada pada kerajaan kita akan tegur dengan niat yang baik supaya kerajaan memperbaiki insya Allah. Kalau kerajaan tidak mahu membaiki, kita tukar kerajaan. Kalau kerajaan tidak mahu membaiki dirinya, kita tukar kerajaan.   

Kita ada pembangkang insya Allah, yang padu insya Allah, yang lebih kuat insya Allah untuk mengimbangi- check and balance Kerajaan Pusat ini, Kerajaan Malaysia ini, supaya tidak beraku penyelewengan, tidak berlaku sesuatu yang bercanggah dengan maqasid syar’iah itu sendiri. Itulah matlamat dia. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas masa yang diberikan. - HARAKAHDAILY 5/11/2015

Ucapan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad semasa membahaskan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 3 November 2015.

Share on Myspace