Dun Kelantan tolak Akta Laut Wilayah

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan mencipta sejarah apabila menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang dilulus di parlimen pada April 2012.

Usul tersebut yang dibentang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan mendapat sokongan anggota dewan.

Persidangan Dun gemuruh dengan suara “sokong” ketika Speaker, Datuk Abdullah Ya’kub ketika meminta sokongan daripada anggota Dun.

Sebelum itu dua Adun pembangkang Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) dan Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani (BN-Nenggiri) turut mengambil bahagian membahaskan usul berkenaan.

Tiga penyokong kerajaan turut berbahas menyokong termasuk Dr Yusnan Yusof (PAS-Melor), Datuk Husam Musa (PAS-Salor) dan Rozi Muhamad (PAS-Tendong).

Dr Fadzli berkata Akta 750 bertentangan dengan Perkara 2 perlembagaan kerana tidak mendapat kebenaran Dun setiap negeri dan Majlis Raja-Raja.

“Ini kerana cadangan untuk mengubah sempadan negeri perlu mendapat kelulusan Dun dan Raja-raja terlebih dahulu.

“Sedangkan apa yang berlaku rang undang-undang mengenainya dibentang secara tergesa-gesa tanpa melibatkan persetujuan negeri-negeri dan sultan,” katanya ketika membentang usul tersebut.

Kerajaan Persekutuan membentangkan Rang Undang-Undang Laut Wilayah Malaysia 2012 pada 18 April 2012 untuk memenuhi syarat-syarat Konvensyen Undang-undang Laut Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS).

Ekoran itu setiap negeri di Malaysia perlu menyerahkan pelantar benua kepada kerajaan Persekutuan dan perairan negeri hanya dihad 3 batu nautika.

Dr Fadzli juga berkata Akta 750 dianggap melanggar Perkara 4 dan Perkara 76 (1) perlembagaan persekutuan kerana tidak dirundingkan dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Menurutnya juga usul tersebut dibentang di Dun kerana Akta 750 menyentuh sempadan negeri dan usaha kerajaan pusat mengambil hak negeri terhadap pengeluaran minyak dan gas di pelantar benua.

Kata beliau juga sebelum ini Maritim Kelantan menjelaskan terdapat 20 pelantar cari gali minyak di kawasan seluas 20,000 km persegi perairan milik Kelantan.

Husam pula berkata tindakan Dun Kelantan dijangka diikuti negeri-negeri lain yang mempunyai pelantar minyak termasuk Sabah, Sarawak, Terengganu dan Pahang.

“Tahniah kepada kerajaan negeri kerana bertindak berani. Dun Kelantan satu-satunya yang membawa usul menolak Akta 750 sehingga sekarang.

“Saya yakin selepas ini negeri-negeri lain juga akan mengikut jejak langkah Dun Kelantan kerana tanah di bawah laut adalah milik negeri,” katanya. - HARAKAHDAILY 5/11/2015

Share on Myspace