Apa nasib pelajar Kolej Vokasional tanpa SPM

HARAKAHDAILY | .

TERIMA kasih, Tuan Yang di-Pertua memberi peluang kepada saya bersama-sama terlibat dalam perbincangan Bajet 2016.

Dalam Laporan Ekonomi 2015 menyebut bahawa sehingga 2020 sekurang-kurangnya 60% dari 1.5 perjawatan baru memerlukan kelulusan teknikal dan vokasional. Bagi mencapai hasrat ini kerajaan memberi penekanan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk menaik taraf sekolah vokasional kepada kolej vokasional.   

Sehingga Ogos 2015, 80 buah sekolah vokasional dinaik taraf dengan peruntukan RM8.7 juta.  Permintaan kepada program TVET meningkat melalui strategi lautan biru kerajaan mendapat kerjasama dari Pusat Latihan Awam beberapa kementerian dan swasta dengan memberi tempat, kemudahan, peralatan, sumber manusia termasuk tenaga pengajar.

Sehingga Ogos 2015 jumlah pengambilan pelajar program TVET berjumlah 8,585 orang pelajar dengan kos RM49.8 juta. Dalam Bajet 2016 sebanyak RM4.5 bilion diperuntukkan kepada 545 buah institusi TVET dan peruntukan pembangunan pendidikan teknik dan vokasional sebanyak 255,222,400.   

Persoalan saya adakah benar pelajar-pelajar yang tamat pengajian di kolej vokasional diberi tahap diploma tetapi tidak perlu mempunyai SPM yang mungkin nanti menjadi masalah untuk mendapatkan kerja nanti.

Saya juga ingin mendapat penjelasan adakah pengiktirafan pendidikan TVET oleh MQA diselesaikan. Sejauh mana kerajaan sudah dapat memastikan peluang lulusan teknikal dan vokasional mempunyai peluang pekerjaan di masa akan datang sekurang-kurangnya sehingga 2020.

Adakah syarikat-syarikat elektronik dan elektrik serta syarikat-syarikat perabot bersedia menukar dari label intensif kepada automasi yang lebih memerlukan pekerja teknikal kerana ia melibatkan kos atau mereka lebih suka mendapatkan perkhidmatan buruh murah daripada buruh asing yang dibawa masuk ke negara ini.

Saya berharap jangan jadi seperti siswazah universiti dalam bidang kejuruteraan, akauntan dan profesional lain yang mempunyai peluang pekerjaan yang luas suatu masa dahulu tetapi mereka sekarang banyak menganggur, difahamkan lebih 50,000 orang siswazah yang masih menganggur ataupun terpaksa menukar bidang umpamanya sebagai guru Bahasa Inggeris atau bekerja di kilang-kilang elektronik sebagai technician.

Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong usaha kerajaan mengkomersialkan hasil penyelidikan dan inovasi dengan memberi peruntukan khas kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berjumlah RM1.5 bilion. Saya mengucapkan tahniah kepada pencapaian yang baik oleh penyelidik-penyelidik negara sama ada dari universiti dan institusi penyelidikan yang mungkin dimanfaatkan oleh industri dalam negara ini terutama melalui Program Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta yang diperkenalkan bulan Mei 2014.

Hakikatnya dalam 5 ke-10 tahun ini dari 27,449 hasil R&D, dari 15 buah universiti awam hanya 2% sahaja dikomersialkan. Kenapakah perkara ini berlaku? Adakah ia tidak mencapai tahap yang diperlukan oleh industri atau lebih banyak R&D dalam bidang sains sosial.

Apa yang saya pandang yang perlu diberi penekanan juga, masyarakat perlu mendapat maklumat mengenai pencapaian R&D dalam negara ini. Apa langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam usaha memasyarakatkan sains dan teknologi supaya rakyat sentiasa berfikiran positif dan menghargai manfaat yang diperoleh daripada sumber negara dan ketinggian intelek rakyat kita?

Tuan Yang di-Pertua, dalam Bajet 2016 ini juga ada diperuntukkan bayaran pampasan tol sebanyak RM593,321,000 tetapi saya hairan kenapa pula kadar tol pula dinaikkan secara mendadak umpamanya di tempat saya Lebuhraya SILK meningkat dari RM1 ke RM1.80.

Sepatutnya kadar tol meningkat secara perlahan sebagai contoh mungkin kita mula dengan RM1.20 kemudian naik berperingkat. Secara peribadi saya setuju membayar tol sebagai timbal balas servis yang diberi oleh konsesi tol tetapi janganlah kadarnya menekan dan dinaikkan secara mendadak seperti sekarang yang terlalu membebankan pengguna jalan raya yang sedang menghadapi kenaikan kos sara hidup dan beban cukai GST.

Saya setuju dengan cadangan Yang Berhormat Bandar Tun Razak supaya menyemak balik perjanjian konsesi tol mengambil kira untung yang terkumpul dan berusaha memendekkan tempoh konsesi yang ada dan hasrat sama juga diminta oleh Pemuda PAS Selangor yang datang ke Parlimen baru-baru ini supaya konsesi tol itu disemak semula agar tempoh konsesi dapat dipendekkan.

Saya berharap kementerian dapat menjelaskan pengagihan sebanyak RM593.3 juta yang dibuat kepada konsesi-konsesi tol bagi mengelak persepsi buruk oleh masyarakat. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia yang mengambil tindakan cepat melaksanakan secara menyeluruh kutipan tol secara elektronik untuk menghuraikan kenderaan yang melalui rumah tol dengan cepat.

Malangnya apabila berlaku masalah teknikal atau dalam perkataan yang lain kad tidak dapat dikesan akibatnya berlaku kesesakan kerana tidak ada pembantu teknik yang mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah ini.

Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Kerja Raya mendapat peruntukan sebanyak RM19,824,600 untuk infra atau membina jalan dan RM440 juta untuk menyelenggarakan jalan di Semenanjung maka saya berharap ada juga peruntukan ke kawasan saya Hulu Langat terutama Jalan Dusun Tua yang juga kampung Yang Berhormat Menteri.

Memandangkan Jalan Dusun Tua dari Batu 9, ke Batu 18 yang mengalami kesesakan yang teruk setiap hari agar jalan ini dapat dibesarkan bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku.   

Tuan Yang di-Pertua, saya juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Kerja Raya yang dapat menyelesaikan pembesaran tiga buah pembetung di Sungai Serai melalui Jalan Dusun Tua dalam usaha mengurangkan risiko banjir. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kementerian dari segi kelemahan penjagaan keselamatan pengguna jalan raya terutama oleh kontraktor-kontraktor yang membina jalan atau membaik pulih jalan atau menyelenggarakan landskap kerana mereka tidak memberi notis yang cukup jaraknya bahawa kerja-kerja baik pulih atau penyelenggaraan sedang berlaku di hadapan yang boleh mengakibatkan berlakunya kemalangan.   

Tuan Yang di-Pertua, merujuk kepada keselamatan dan ketenteraman awam dalam negeri yang berhasrat untuk terus mengurangkan jenayah dengan peruntukkan RM13.1 bilion. Terima kasih dan tahniah kepada PDRM yang berusaha gigih membanteras jenayah.  Merujuk inisiatif kelima iaitu dengan pertambahan 500 unit rondaan bermotosikal PDRM, 500 unit kereta peronda dengan peruntukan RM35 juta. Saya sangat berharap pihak polis dapat menyelesaikan jenayah ragut yang menggunakan modus operandi yang sama iaitu dua orang naik sebuah motor bawa parang meragut suri rumah yang berada di halaman rumah.

Sekiranya lambat diberi barang-barang kemas, maka senjata parang yang digunakan. Ini berlaku sebagai contoh suri rumah di Bandar Teknologi Semenyih. Kes-kes ragut ini berulang-ulang dan menakutkan rakyat.

Begitu juga yang diperkatakan kes culik yang berlaku berleluasa di beberapa buah tempat. Pihak polis perlu mengambil tindakan segera sebelum mereka bermaharajalela menculik anak-anak kita.  Contohnya seorang kanak-kanak di Sungai Chua yang diculik tetapi berjaya diambil tindakan oleh pihak polis.

Bagaimana pula dengan yang berlaku di beberapa buah tempat lain. Contohnya di Bangi, di Seremban katanya kerana ada aktiviti jual organ. Ibu bapa terlalu resah dan risau tentang keselamatan anak mereka ketika mereka berulang alik ke sekolah atau tinggal di rumah semasa ketiadaan ibu bapa.  

Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali, saya menyokong usaha mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 40% KDNK pada tahun 2020. Saya faham insentif-insentif yang digariskan seperti audit tenaga, penggunaan sel fotovoltaik, skim pembiayaan teknologi hijau. Saya ingin mendapat penjelasan daripada kementerian langkah-langkah yang mudah difahami dan mudah dilaksanakan yang akan diambil oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam memastikan hasrat mengurangkan pelepasan GHG menjadi realiti. Sekian, terima kasih. – HARAKAHDAILY 5/11/2015

Ucapan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat  ketika membahaskan bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 3 November 2015.

Share on Myspace