Pusat lewat bantu mangsa banjir tahun lepas

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kesungguhan jentera kerajaan negeri membantu mangsa banjir akhir tahun lepas tidak dapat dinafikan, biar pun ada suara sumbang cuba mempertikaikannya.

Ini dapat dibuktikan biarpun 339,000 penduduk menjadi mangsa banjir dan 140,000 daripadanya terkepung, mangsa yang terkorban hanya 11 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri, Mumtaz Md Nawi, berkata sebahagian besar yang menjadi korban banjir merupakan warga emas yang uzur.

Katanya banjir yang melanda Kelantan tahun lalu terburuk dalam sejarah di negeri tersebut.

“Kerajaan negeri sudah berusaha sedaya mungkin membantu mangsa banjir melalui agensi-agensinya bermula 17 November lagi.

“Tidak timbul kelewatan bantuan diagih kepada mangsa banjir kecuali kawasan yang terkepung dan sukar dihubungi melalui laluan darat,” katanya pada persidangan Dun Kelantan, di sini.

Sebelum ini Ketua Pembangkang Datuk Nozula Md Diah mendakwa Kelantan lambat bertindak membantu mangsa banjir.

Mumtaz berkata semua jabatan kerajaan negeri termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri turun membantu bersama wakil-wakil rakyat.

“Biar pun ada kalangan mereka yang turut menjadi mangsa banjir namun demi tugas kakitangan kerajaan negeri datang membantu mangsa lain.

“Kakitangan Urusetia Pembangunan Wanita ada yang tidak pulang ke rumah dua minggu kerana membantu mangsa banjir.

“Begitu juga agensi kerajaan negeri termasuk PKINK, PMBK, penghulu dan ahli majlis daerah turut terlibat membantu mangsa banjir,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya berbeza dengan agensi kerajaan pusat hanya kelihatan bersungguh-sungguh dan serius selepas kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan pada 27 Disember 2014. - HARAKAHDAILY 6/11/2015

Share on Myspace