Bajet 2016: Perkasakan industri emas di Kelantan

HARAKAHDAILY | .

Tuan Yang Dipertua, memang susah ahli politik dan juga peguam untuk bercakap 10 minit tetapi saya cuba. Saya pertamanya mengucapkan terima kasih, walau bagaimanapun, kerana dapat peluang untuk bersama membahaskan Belanjawan 2016, belanjawan yang pertama selepas RMK11 dan RMK11 ini merupakan Rancangan Malaysia yang terakhir sebelum tahun 2020.

Perbelanjaan ataupun belanjawan yang bertajuk, “Mensejahtera Kehidupan Rakyat” telah menampilkan belanjawan sebanyak RM267.2 bilion yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Pekan pada 23 Oktober yang lalu.  Saya mempunyai empat poin yang utama yang akan saya huraikan secara ringkas.

Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa dalam Bajet 2016 kita dapat lihat beberapa inisiatif-inisiatif kerajaan yang telah dilontarkan baik dalam bentuk pemberian langsung mahupun inisiatif percukaian dan sebagainya yang disebutkan untuk mengurangkan tekanan kepada kehidupan rakyat terutamanya kelompok yang paling terdedah kepada kesan negatif keadaan ekonomi umum yang lemah.

Begitu juga dalam Belanjawan 2016 telah memperlihatkan kononnya ada perluasan kelompok barangan yang katanya berkadar GST sifar, peningkatan paras gaji minimum, penambahan pemberian langsung BR1M serta pelepasan cukai bagi golongan berpendapatan rendah.

Apapun, saya berpendapat bahawa seelok dan sebaik mana pun dasar yang telah dibuat oleh sesebuah kerajaan itu, ia hanya akan menjadi nikmat sebenar kepada rakyat sekiranya ia dilaksanakan dengan penuh saksama, tidak ada penyelewengan serta diselia dengan penuh jujur oleh agensi penguat kuasa.  

Federalisme

Saya ingin menekankan satu aspek yang cukup penting dalam sebuah kerajaan ataupun dalam sebuah negara terutamanya seumpama Malaysia ini yang bersifat persekutuan ataupun federalisme. Dalam konteks kerajaan federalisme ini apa yang hendak saya sentuh ialah bagaimana komponen negeri-negeri yang berada di dalam satu federalisme ini harus dilayan dengan begitu baik, harus dilayan dengan saksama dalam apa bentuk keadaan sesebuah negeri tersebut.

Oleh sebab itu saya melihat ada sedikit perkara dalam Belanjawan 2016 ini yang nampaknya tidak memenuhi ataupun tidak menurut sepatutnya konsep federalisme ini.

Saya ambil satu contoh, perbelanjaan 2016 ini nampaknya masih lagi bergantung kepada suatu logik zaman kolonial iaitu pembangunan yang ditumpukan adalah lebih di Pantai Barat berbanding dengan Pantai Timur.

Saya ambil satu contoh dalam belanjawan ini misalnya, daripada peruntukan RM267.2 bilion ini terdapat sejumlah peruntukan berjumlah RM42 juta bagi pembinaan Lapangan Terbang Mukah di Sarawak serta kenaikan taraf Lapangan Terbang Kuantan dan Kota Bharu. Diandaikan Lapangan Terbang Mukah yang baru hendak dibina ini jumlahnya RM30 juta, maka tinggal lagi RM12 juta yang akan dibahagikan antara Kuantan dan Kota Bharu. Jadi inilah nasib negeri-negeri yang berada di Pantai Timur.

Infrastruktur Kelantan

Kerajaan Persekutuan juga nampaknya tidak dapat mempertimbangkan cadangan Kerajaan Negeri Kelantan yang cuba menawarkan segala keperluan infrastruktur terutamanya tanah untuk membina satu lagi lapangan terbang baru di daerah Machang di negeri Kelantan.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan hasil daripada perkara yang saya sebutkan tadi, ketidakseimbangan pengagihan pembangunan di antara negeri-negeri di dalam Persekutuan Malaysia ini.

Pertamanya, saya hendak mencadangkan supaya bagi memastikan pembangunan yang seimbang antara Pantai Barat dan Pantai Timur, saya ingin mengesyorkan supaya Kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan Pelan Fizikal Negara yang mencadangkan supaya satu sistem hubungan kereta api laju ataupun speed rail diadakan di Pantai Timur. Sebolehnya tanpa melalui landasan yang juga dibuat oleh kolonial dahulu iaitu melalui Gemas, terus dari Kuala Lumpur Pantai Barat seterusnya ke Pantai Timur Kelantan dan juga Terengganu yang tidak mempunyai kereta api sehingga sekarang ini.

Keduanya saya juga ingin mencadangkan supaya kerajaan memikirkan bagaimana memperkasakan industri-industri tempatan yang berdasarkan kepada budaya dan juga bakat kepakaran yang ada di kalangan rakyat di sesebuah negeri itu. Umpamanya saya mencadangkan supaya industri emas dan perhiasan peribadi diperkasakan di negeri Kelantan di mana di negeri tersebut mempunyai banyak faktor-faktor yang boleh memajukan industri ini.

Begitulah juga saya tidak ketinggalan mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan dapat memikirkan untuk mewujudkan negeri Terengganu di Pantai Timur juga sebagai sebuah pangkalan utama industri perikanan di dalam negara kita ini.

Dengan kata lain, wilayah Pantai Timur yang masih kurang tercemar di samping kaya dengan alam semula jadi serta flora dan faunanya boleh dimajukan sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan teknologi hijau yang dirasakan amat sesuai di wilayah Pantai Timur.

Isu yang kedua mengenai isu antarabangsa. Saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak kerajaan khususnya Kementerian Luar Negara mengenai cadangan ataupun usaha perdamaian di selatan Thailand yang mana pada 28 Februari 2014 yang lalu, Kerajaan Thailand telah pun bersetuju untuk melantik Kerajaan Malaysia menjadi sebagai facilitator, dengan izin, ataupun pemudah cara bagi mencari suatu langkah perdamaian antara Kerajaan Thailand dengan pejuang-pejuang pembebasan selatan Thailand.

Saya sebagai wakil rakyat dari negeri Kelantan amat merasakan apabila berlakunya suasana yang tidak tenteram di negara jiran di Thailand maka kita yang berada di negeri-negeri yang berada di sempadan juga merasai bahang kepada rasa tidak selamat yang berlaku di negeri kita. Itu yang kedua.

Ketiganya, saya mengambil kesempatan ini untuk merekodkan suatu penghargaan saya kepada pasukan Polis Diraja Malaysia Negeri Kelantan yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan ataupun membendung angkara kes-kes jenayah di negeri Kelantan. Sehingga bulan Mei 2014, polis Kelantan telah berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 2% dan dengan harapan akhir tahun 2015 ini sehingga mencecah kepada 5%.

Vape

Isu yang terakhir, ini isu yang tidak popular mungkin di kalangan sesetengah orang. Kebetulannya Yang Berhormat Bera berada di dalam Dewan pada hari ini. Saya ingin mendapat kepastian daripada kerajaan mengenai langkah kerajaan untuk menilai semula kebenaran penggunaan vape di kalangan rakyat Malaysia.

Saya tidak tahu kenapa Yang Berhormat Bera yang menjadi Menteri Pertanian begitu berminat dalam isu vape ini dan saya merasakan bahawa beliau mungkin telah berjaya melobi di dalam Kabinet sehingga vape ini yang pada asalnya nampak seolah-olah ingin diharamkan oleh kerajaan sebagaimana yang diharamkan di Singapura, sebagaimana yang diharamkan di negara hiburan- di Thailand, dan juga negara yang kuat merokok, di Indonesia telah ada undang-undang untuk diban ataupun diharamkan. Jadi saya ingin dapat penjelasan lah daripada kementerian yang berkenaan, kenapa dan mengapakah?

Adakah kerajaan tidak ingin mengambil pandangan terutamanya bagi orang Islam di kalangan mufti-mufti yang telah membuat fatwa bahawa vape ini haram sebagaimana haramnya rokok dan berdasarkan kepada alasan-alasan yang diberikan? Jadi untuk itu saya mengakhiri ucapan perbahasan saya. - HARAKAHDAILY 6/11/2015

Ucapan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan ketika membahaskan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 3 November lalu.

Share on Myspace