Siasat, dedah punca lombong bijih Bukit Besi ditutup

HARAKAHDAILY | .

KUALA TERENGGANU: Lajnah Tanah PAS Terengganu telah melawat kawasan perlombongan bijih besi di Bukit Besi setelah mendapat aduan dari penduduk sekitar, berkaitan pencemaran hulu Sungai Dungun yang menyebabkan ikan yang menjadi punca rezeki mereka terjejas.  

Menurut pengerusinya, Dr Alias Razak hasil lawatan pada 4 November lalu didapati aktiviti perlombongan bijih besi telah dihentikan.

Katanya, benteng kolam takungan ‘sisa toksid’ perlombongan itu telah dipecahkan menyebabkan air sisa toksid mengalir terus ke dalam sungai yang mungkin menyebabkan kematian hidupan ‘marin’ di hulu Sungai Dungun.  

"Ini menyebabkan kerajaan hilang sumber hasil setelah mengorbankan kayu balak kawasan hutan simpan kekal yang keluasannya melebihi 6,000 hektar," ujarnya dalam satu kenyataan, di sini.  

Menurutnya lagi, penebangan hutan yang begitu luas dalam masa yang singkat telah menyebabkan kesan alam sekitar yang teruk, sedangkan hasil yang diperolehi oleh kerajaan tidak seberapa.  

Beliau berkata, punca rezeki penduduk sekitar pula terjejas akibat dari pencemaran sungai kerana pengurusan sisa toksid yg mungkin tidak mengikut ‘standard operating procedure’ (SOP).

Ini, ujar beliau mungkin kerana kurang pemantauan dari pihak yang berwajib.  

"Kami pohon pihak kerajaan menyiasat punca pencemaran sungai dan juga kenapa perlombongan bijih besi dihentikan? tanya beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal. - HARAKAHDAILY 6/11/2015

Share on Myspace