Pelbagai Rumah Selangorku bantu rakyat buat pilihan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Rumah Selangorku yang mengkhususkan golongan berpendapatan rendah bukan bertujuan memansuhkan pembinaan rumah kos rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata ia bagi mempelbagaikan pilihan rumah mampu milik kepada rakyat.

“Konsep Rumah Selangorku adalah mempelbagaikan rumah mampu milik daripada segi jualan dan luas binaan untuk memberi pilihan kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah memiliki rumah.

“Tidak timbil isu rumah kos rendah akan dimansuhkan, sebaliknya hanya diberi penjenamaan baru kepada jenis kediaman berkeluasan 700 kaki persegi dengan harga minimum RM42,000,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PKR-Batu Tiga) berkenaan Rumah Selangorku pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Adun Chempaka itu berkata, kerajaan negeri menyediakan skim pembiayaan dan bantuan khas untuk membolehkan rakyat memiliki rumah.

Katanya, antara skim itu adalah DanaSel berkonsepkan sewa milik dan ‘Selangor Smart Home Buyer’ dengan pendahuluan deposit 10 peratus diberikan bagi memungkinkan pembeli mendapat pinjaman bank.

“Skim lain adalah kerajaan negeri meletakkan cagaran kepada bank dan memberi pinjaman kepada pembeli yang sebelum ini tidak dapat membeli rumah,” katanya.

Berkenaan sasaran pembinaan Rumah Selangorku untuk tempoh tiga tahun akan datang, Iskandar berkata, 29,176 unit sudah mendapat kelulusan pembinaan.

Share on Myspace