Teks TPPA bukan teks muktamad

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Walaupun teks versi akhir Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang baru didedahkan dan dibaca sebagai tidak menjejaskan kepentingan negara, namun kami berpendirian mengikut teks tersebut jelas mengesahkan kekhuatiran banyak pihak. TPPA mengandungi klausa yang sah merugikan negara dan bakal membebankan rakyat.

Antaranya ialah isu pelanjutan masa kepada 5 tahun untuk ubat generik dibenarkan berada dipasaran dan dengan sebab itu pengguna terpaksa membeli ubat dari pembuat asal yang sangat tinggi harganya.

Demikiannya juga isu hak bumiputera dan syarikat milik kerajaan (SOE) yang dikatakan terpelihara. TPPA dikatakan membenarkan fleksibiliti 30% untuk pemerolehan kerajaan kepada bumiputera dan SOE. Namun sejauh mana fleksibiliti itu dibolehkan jika sesebuah kontrak yang diberi kepada syarikat luar datang dalam bentuk satu pakej. Mekanisme apa yang ada dalam peraturan Malaysia untuk menolak permohonan tender dari luar yang lebih kompetatif dari segi harga?

Klausa mengenai layanan yang sama antara syarikat tempatan dan syarikat luar dalam TPPA bakal menjadi medan pertembungan yang besar jika mekanisme di Malaysia tidak cukup kuat menghadapi risiko diheret ke mahkamah antarabangsa dalam proses Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS)  yang terdapat dalam TPPA.

Kami juga sangat khuatir terhadap kenyataan kononnya pengguna Malaysia akan nikmati barang berkualiti dan harga berpatutan dari 11 negara luar. Sementara pasaran Malaysia bakal menghadapi lambakan, malah masakini pun sudah berlaku gejala tersebut manakala produk Malaysia pula belum tentu mampu bersaing di pasaran luar. Kami tidak yakin TPPA baik untuk pengguna mahupun untuk usahawan Malaysia.

Respons awal kami ialah  ia merupakan pendedahan yang amat lewat dan pendedahan yang belum muktamad.

TPPA adalah perjanjian yang sangat kompleks dan penuh kontroversi. Ada proses sertifikasi yang perlu diselesaikan bermakna teks yang didedahkan itu tidak muktamad.

Kami tetap berpendirian bahawa ia adalah perjanjian yang menghakiskan kedaulatan negara dan merupakan suatu penjajahan yang menggunakan  instrumen perjanjian perdagangan untuk menguasai sebuah negara dalam jangka masa panjang.

Menteri MITI menyatakan ini bukan penjajahan moden kerana negara lain turun menyertai TPPA. Kami berpandangan perjanjian yang memberi kesan kepada keupayaan negara membuat dasar dan menggubal undang-undang sendiri adalah satu penjajahan.

Setelah lebih 5 tahun berunding secara rahsia akhirnya teks TPPA didedahkan oleh MITI di laman sesawang kelmarin yang diedar oleh kerajaan New Zealand sebagai anggota asal TPPA.

Kami sudah menyatakan bahawa merahsiakan perundingan sebesar ini adalah tidak adil dan berbaur konspirasi.

Kesangsian pelbagai pihak terhadap TPPA kerana kerahsiaan yang sedemikian lama  adalah munasabah. Untuk pihak MITI mengatakan setelah teks versi akhir kini didedahkan dan kerana itu ia menjadi telus adalah suatu pembodohan masyarakat awam.

Adakah ini bermakna kerajaan sedang mula menghitung hari untuk menentukan tarikh Perdana Menteri menandatangani dokumen perjanjian itu?

Sebelum pendedahan teks perjanjian tersebut dimuktamadkan,  pihak kerajaan nampaknya tetap mengulangi bahawa TPPA sangat bermanfaat untuk negara. Ini ketetapan yang jelas membayangkan bahawa perbahasan mengenai TPPA di Parlimen pada sidang akan datang tidak membawa makna. Menteri MITI sendiri menyatakan sebenarnya memadai keputusan dibuat oleh Jemaah Menteri. Adakah ini bermakna jika parlimen menolak TPPA, kerajaan tetap akan menandatanganinya?

Kami hairan, sebelum 2 Analisis Kos dan Faedah (Cost Benefit Analysis) yang dikendalikan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISISI) dan Pricewaterhouse Coopers  (PwC) dikatakan akan dikeluarkan lagi dua minggu dari sekarang Menteri MITI terus mengulangi kenyataan  bahawa TPPA akan menguntungkan negara dalam perdagangan dunia.

Dengan menyertai TPPA, retorik seperti  daya saing yang lebih tinggi, agenda perdagangan yang lebih agresif dan lebih baik, terus diwar-warkan untuk memberi mesej bahawa kerajaan Malaysia sudah siap menandatangani perjanjian tersebut walaupun ada suara penentangan yang kuat dari rakyat.

Soalnya, gambaran yang muluk-muluk yang didedahkan sebagai manfaat dari TPPA, apakah akan menjadi kenyataan indah khabar dari rupa.

Sepatutnya ruang dibuka juga untuk pihak lain membentangkan penilaian analisis kos-faedah secara bebas mengenai perjanjian berkenaan.

Bagi kami teks yang didedahkan ini semata-mata, tidak memadai untuk memberi analisis yang mencukupi. Rakyat perlu didedahkan dokumen latarbelakang TPPA dari mula ianya dirundingi untuk memberi gambaran menyeluruh terhadap teks tersebut.

Inilah yang tidak mahu didedahkan kepada rakyat. Proses perundingan itu telah menetapkan dokumen latar belakang itu hanya boleh didedahkan 4 tahun selepas TPPA berkuatkuasa.

Analisa kerajaan nampaknya lebih cenderung untuk menunjukkan keuntungan lebih dari implikasi kos yang akan terbeban ke atas sebahgian besar rakyat. Walaupun dalam tempoh 3 bulan yang diberi kepada pihak awam untuk meneliti teks dan 2 CBA itu nanti, Menteri MITI sudah pun mengistiharkan komitmen kerajaan untuk menandatangani TPPA.

Setidaknya beberapa klausa yang dikutip oleh media untuk menunjukan status bumiputera akan dipelihara dalam TPPA masih boleh dipersoalkan. Semua pernyataan dalam TPPA itu masih tertakluk kepada tindakan mahkamah perdagangan walaupun diberi masa 4 tahun selepas didapati melanggar TPPA.

Klausa mengenai pemanjangan waktu untuk industri pengeluar ubatan boleh menghasilkan ubat generik dan mengedarkannya ke dalam pasaran kepada 5 tahun kepada 20 tahun ternyata merupakan kerisauan yang benar.

Kami menggesa sekali lagi agar kerajaan Malaysia tidak menandatangani TPPA dan suara rakyat yang menolak TPPA perlu dihormati. - HARAKAHDAILY 7/11/2015

Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Petubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Share on Myspace