Fitnah 'PAS mahu menyertai Umno' terus diratib

NASRUDIN HASSAN | .

'PAS mahu menyertai Umno' adalah lafaz atau kalimah yang diratib sejak lebih 5 atau 6 tahun yang lalu. Ia terus diratib dengan agenda tersendiri oleh pihak desprado sama ada luar PAS atau yang masih berada di tepian gelanggang.

Tiga kali muktamar berturut-turut Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden parti menafikan fitnah tersebut dan menegaskan betapa PAS tidak pernah berhasrat untuk menyertai Umno selama mana Umno masih berdiri di atas dasar nasionalisme mereka, malah memperteguhkan lagi bahawa PAS tetap dengan membawa prinsip dan dasar perjuangan Islam yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Mengambil kesempatan atas kemudahan media baru yang pantas mengalirkan racun fitnah, mereka terus meratib saban waktu bahawa PAS mahu menyertai Umno. Sementelah mereka menyedari bahawa sebahagian rakyat di negara ini mudah terpedaya dengan fitnah yang disebar.

Tidak memadai penegasan Tuan Guru Presiden di beberapa siri muktamar tahunan, penafian demi penafian telah dibuat khasnya oleh Setiausaha Politik Presiden Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Namun fitnah serupa terus diratib.

Saya yakin, mereka sudah kehabisan modal dan kekeringan idea untuk memburukkan PAS dan menjatuhkan reputasi Presiden PAS. Maka mereka terus mengulang sebut dan terus menabur fitnah yang serupa sementara mereka menyedari bahawa masih ada orang mahu mempercayai fitnah mereka.

Ironinya, setelah lebih 5 atau 6 tahun api fitnah ini ditiup dan dihidupkan, PAS masih kental dengan dasar dan prinsip perjuangannya untuk menegakkan Islam di bumi bertuah ini. Ternyata gabungan PAS dan Umno itu tidak pernah menjadi kenyataan.

Justeru itu memadailah jika saya menyebut bahawa ia bukan sahaja tidak benar malah merupakan fitnah yang jahat.

Kedudukan PAS hari ini yang terus istiqamah dengan dasar perjuangannya menjadi jawapan secara praktis betapa PAS tidak pernah menyertai Umno dan BN.

Sementara perbincangan, pertemuan atau apa jua tindakan yang mungkin dilihat duduk bersama antara PAS dan Umno seperti isu pembentukan Jawatankuasa Teknikal Perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang turut melibatkan mesyuarat bersama dengan pihak kerajaan pusat pimpinan Umno dan BN adalah bermaksud tindakan ta'awun a'lal birri wat taqwa iaitu berkerjasama atas nama kebajikan dan taqwa demi kepentingan bersama ummat Islam. Lantaran inilah yang diajar oleh Islam.

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (Surah Al Maaidah: 2)

Sebelum ini, atas nama membela ummat Islam Palestin, al Marhum Tuan Guru Datuk Fadzil Mohd Nor pernah berucap sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Tindakan itu adalah bijak dan murni berasaskan ta'awun a'lal birri wat taqwa.

Malah terlalu banyak lapangan dan ruang yang boleh membentuk ta'awun a'lal birri wat taqwa atau kerjasama berasaskan kebajikan dan taqwa kepada Allah swt antara PAS, Umno dan parti-parti politik lain demi kepentingan agama Islam dan ummatnya.

Selain isu pelaksanaan syariah dan membela ummat Islam Palestin, ruang ta'awun itu terus terbuka untuk menangani isu pengaruh dan kuasa ekonomi mahupun politik ummat Islam di negara tercinta ini agar tidak terus terhakis dan luntur.

Pasti sahaja kepentingan Islam itu melewati sempadan bangsa, warna kulit, bahasa lidah, parti politik, NGO, individu dan sebagainya.

Justeru sempadan Islam ialah kalimah tauhid Laa iLaa ha iLLallah / لا إله إلا الله. Kerananya, seluruh umat Islam mesti bersatu mempertahankan kemurnian syariat dan kesucian syiarnya. - HARAKAHDAILY 7/11/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Share on Myspace