Saman: Mahkamah benarkan permohonan Presiden PAS

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini menolak saman pemula empat individu yang mencabar usul pembentangan Rang Undang-undang Persendirian di Parlimen oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut saman pemula itu, bukan sahaja didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dianggap mengelirukan bahkan dikatakan suatu cubaan untuk memperluaskan kuasa Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman tanpa batasan.

Peguam Tuan Guru Abdul Hadi, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, permohonan beliau dibenarkan oleh Hakim Datuk Asmabi Mohamad dengan alasan keempat-empat individu berkenaan tidak berhak di sisi undnag-undang untuk mengemukakan permohonan tersebut.

Jelas Takiyuddin, hakim juga berpendapat permohonan empat individu yang mengemukakan tindakan itu melalui saman pemula adalah tidak betul kerana ia sepatutnya dibawa melalui semakan kehakiman.

"Presiden boleh dibenarkan semula membawa RUU ini ke Parlimen," katanya yang juga Setiausaha Agung PAS kepada Harakahdaily.

Tambahnya, mahkamah telah membenarkan permohonan membatalkan saman perlu dengan kos.

Bagaimanapun, kata beliau Presiden PAS tidak berhasrat untuk mengenakan kos terhadap empat individu terbabit.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu Saiful Bahri Mamat di laman Facebooknya bersyukur dengan keputusan mahkamah pada hari ini dan berterima kasih kepada barisan peguam termasuk Datuk Sulaiman Abdullah yang memberi khidmat percuma kepada PAS.

"Alhamdulillah...Mahkamah menolak saman thdp Ds Tn Guru Haji Abdul Hadi Awang.

"Allahuakbar.  Semoga Mahkamah Syariah mempunyai hak yang selayaknya nanti," ujar beliau.

Pada 12 Jun lepas, empat individu iaitu Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin memfailkan saman pemula dengan menamakan Abdul Hadi, Pandikar Amin, Ismail, Kiandee dan Roosme sebagai defendan pertama hingga kelima. Mereka selaku pihak plaintif diwakili oleh peguam Siti Kasim dan Farez Jinnah.

Keempat-empat individu itu turut memohon satu deklarasi bahawa pembentangan mengenai pindaan itu merupakan satu kemungkiran terma-terma Buku Jingga Pakatan Rakyat oleh Abdul Hadi.

Rang Undang-Undang Persendirian yang dikemukakan Ahli Parlimen Marang bagi meminda Akta 355 yang membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. - HARAKAHDAILY 9/11/2015

Share on Myspace