Selangor peruntuk RM800 juta bina 2 loji air baru

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM800 juta untuk membina dua loji rawatan air baru di Labohan Dagang, Kuala Langat dan Semenyih 2 bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga 2019.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata tindakan itu dibuat sebagai persiapan kemungkinan kelewatan projek Langat 2 yang difahamkan tertangguh sehingga 2019.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di ibu pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), hari ini.

Katanya, Projek Langat 2 sepatutnya siap sepenuhnya pada 2017.

“Dokumen tender sudah siap bagi Semenyih 2 yang dibuka pada awal Disember dan projek dijangka bermula pada suku tahun pertama 2016.

“Untuk Labohan Dagang, kita jangkakan tender dibuka selewat-lewatnya pada Mac 2016 dan projek bermula pada pertengahan tahun,” katanya dipetik Selangor Kini.

Azmin bersama Exco kerajaan negeri sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat Syabas selepas kerajaan negeri mengambilalih sepenuhnya Industri Air Selangor (Air Selangor) pada 15 Oktober lalu.

Beliau menjelaskan, projek itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri bagi menyediakan perkhidmatan air yang holistik serta lebih cekap kepada pengguna domestik dan industri.

Beliau berharap pembinaan dua loji rawatan air baru itu dapat menampung kekurangan air dalam tempoh 2017 dan 2019.

Dalam perkembangan sama Mohamed Azmin memaklumkan, projek Mitigasi 2 dijangka siap pada Disember depan dan mampu menambah bekalan air sehingga 2017.

Share on Myspace