KM Sabah sahkan seorang tebusan Sandakan dibebas

BERNAMA | .

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman hari ini mengesahkan pembebasan Thien Nyuk Fun, satu daripada dua suspek yang diculik di restoran makanan laut di Sandakan pada Mei lepas.

Sambil menzahirkan kelegaannya, beliau berkata pembebasan pengurus wanita Restoran Ocean Seafood berusia 50 tahun yang diculik di premis itu, adalah hasil rundingan beberapa bulan serta usaha bersepadu pihak berkuasa daripada pelbagai peringkat.

"Saya berterima kasih kepada mereka (pihak berkuasa) yang bekerja keras untuk membawa pulang Thien.

"Pada masa sama, saya menyeru pihak berkuasa untuk sentiasa berjaga-jaga dan memastikan sempadan negara tidak diceroboh," katanya dalam satu kenyataan.

Thien diculik bersama seorang pelanggan, Bernard Then Ted Fen, 39, dari Sarawak pada 14 Mei lepas oleh empat lelaki bersenjata yang menyerbu restoran itu kira-kira pukul 7.45 malam. - Bernama

Share on Myspace