Projek Desa Darul Ehsan di peringkat akhir

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah berkata, pembinaan rumah di bawah kerajaan negeri berjalan lancar termasuk di Desa Darul Ehsan Kampung Manek Urai Baru.

Katanya, 60 unit rumah kekal di desa tersebut sekarang di peringkat akhir kerja-kerja pembinaan, selain menyediakan kemudahan infrastruktur.

“Pembinaan rumah sumbangan kerajaan Selangor itu berjalan lancar. Selain itu turut dibina sebuah madrasah di penempatan baru tersebut.

“Mungkin dalam tempoh sebulan dua lagi mangsa-mangsa yang disenaraikan mendapat rumah tersebut boleh berpindah ke penempatan terbabit,” katanya di sini.

Penempatan baru seluas 7 ekar terbabit disediakan kerajaan negeri dan dana pembinaan disumbang kerajaan Selangor.

Kedudukannya begitu strategik di tepi jalan raya Kuala Krai-Gua Musang. Rumah jenis sebuah dibina dengan kos lebih RM60,000 seunit.

Perletakan batu asas projek Desa Darul Ehsan disempurnakan Menteri Besar Selangor, Mohamad Azmin Ali pada 17 Jun lepas.

Mohd Fauzi juga berkata mangsa-mangsa banjir yang tidak memiliki lot sendiri disenaraikan layak menduduki rumah di desa berkenaan.

Kata beliau sebelum ini mangsa banjir terbabit menumpang di tanah rezab Kereta Api Tanah Melayu (KTMB) dan sungai.

“Itu kriteria utama ditetapkan kerajaan bagi melayakkan mangsa banjir mendapat rumah disumbang kerajaan Selangor,” ujarnya.

Beliau juga mendakwa sehingga sekarang tiga rumah kekal dibina di bawah kerajaan pusat runtuh ketika dalam pembinaan di Dun Manek Urai.

Katanya, dua rumah kekal yang separuh siap dibina runtuh di Kampung Laloh dan sebuah lagi di Sungai Rek.

Pada Mei lepas sebuah lagi rumah juga sedang dalam pembinaan di Kampung Bedal Dun Mengkebang juga runtuh.

“Sebab itulah sekarang saya difahamkan kerajaan pusat tidak lagi membina rumah kekal bertiang tinggi bagi mengelakkan berulang peristiwa hitam tersebut.

“Perkara itu sepatutnya dapat dielakkan sekiranya kontraktor membina mengikut piawaian ditetapkan kerajaan dan bukannya mengutamakan keuntungan,” katanya. - HARAKAHDAILY 10/11/2015

Share on Myspace