Sultan Kelantan berkenan ringan hukuman 7 banduan

BERNAMA | .

KOTA BAHARU: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan meringankan hukuman terhadap tujuh banduan termasuk dua warga Thailand sempena Hari Keputeraan baginda ke-46 esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata seorang banduan dibebaskan awal manakala empat banduan diringankan hukuman mati kepada penjara seumur hidup.

"Dua lagi banduan diringankan hukuman mati kepada penjara sepanjang hayat," katanya pada sidang akhbar di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Beliau berkata Lembaga Pengampunan Negeri Kelantan telah meneliti 37 kes rujukan dan mempertimbangkan semua aspek kesalahan, tempoh hukuman yang dijalani dan usaha pemulihan yang telah dilalui banduan terbabit.

Katanya kesemua tujuh banduan yang diringankan daripada hukuman penjara itu membabitkan kes dadah.

"Banduan yang diberi pengampunan pembebasan awal pula diharap dapat menggunakan peluang kedua itu untuk memanfaatkan diri, keluarga dan masyarakat," katanya. - Bernama

Share on Myspace