Tangguh cari guru besar hilang, tiada petunjuk positif

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu, Jashiah Rabu, 53, ditangguhkan bermula hari ini berikutan tiada sebarang petunjuk positif.
    
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Abdul Rahman Yahya Zikri berkata pusat operasi di Kampung Buluh Telur, Kuala Kubu Baharu telah ditutup kira-kira 9 pagi tadi dan akan dibuka semula sekiranya terdapat petunjuk baharu.

"Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan Jashiah untuk tampil ke balai polis berhampiran," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
    
Selain polis, operasi berkenaan turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Veteran Komando Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Renjer Hutan, malim gunung dan penduduk kampung berhampiran.
    
Jashiah kali terakhir dilihat jirannya keluar dari rumahnya pada petang 23 Okt lepas dan apabila suaminya Ruzilan Omar, 57, pulang didapati pintu rumah mereka terbuka dan Jashiah tiada di rumah.
    
Difahamkan, Jashiah menghala ke kawasan Hutan Simpan Bukit Kutu selepas keluar dari rumahnya di Taman Seri Seruling dengan berjalan kaki dan menumpang kereta orang lain sejauh kira-kira 10 kilometer. - Bernama

Share on Myspace