Azam PAS S'gor perancangan Belanjawan 2016 tercapai

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Selangor berpuas hati dengan penerimaan rakyat terhadap Belanjawan Negeri 2016 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali di Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober lepas.

"Ianya satu belanjawan yang lengkap, syumul dan memenuhi keperluan rakyat," kata Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Iskandar A Samad dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, belanjawan itu telah menerima pelbagai pujian kerana prihatin terhadap nasib rakyat yang semakin tertekan akibat dari suasana ekonomi yang tidak menentu.

Selain itu, katanya belanjawan itu juga mempersiapkan kerajaan negeri untuk berhadapan dengan suasana tersebut.

Menurutnya lagi, belanjawan merupakan perancangan perbelanjaan sebuah kerajaan untuk jangka masa 12 bulan.

Beliau berkata, perbelanjaan yang selari dengan polisi-polisi yang telah dipersetujui oleh parti-parti yang membentuk kerajaan.

"Maka ia mengikat mereka agar sentiasa berada di atas landasan yang telah dipersetujui bersama," ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri.

Sehubungan itu, ujar beliau PAS Selangor berazam untuk memastikan perancangan belanjawan tersebut akan tercapai.

Tambahnya, Selangor perlu terus cemerlang dengan pembangunan negeri dipacu kehadapan tanpa mengabaikan kebajikan rakyat. - HARAKAHDAILY 11/11/2015

Share on Myspace