Idea baru TGHH: Negara teknokrat

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SATU lagi cetusan baru Presiden PAS dalam menyelesai kemelut negara; kerajaan teknokrat. Teknokrasi adalah sebuah sistem pemerintahan yakni kuasa parti politik terhadap negara hanya terhad untuk melantik kalangan profesional sebagai eksekutif pentadbir negara bermula daripada Perdana Menteri hingga ke peringkat terbawah.

Sebelum ini, pemimpin parti politiklah yang biasa menjawat jawatan PM dan Menteri. Tetapi idea kerajaan teknokrat ini meletakkan penjawat tersebut berdasarkan kelulusan akademik tertentu yang tidak terlibat dengan pilihan raya.

Masih terlalu awal untuk menyatakan idea ini sesuai ataupun tidak dengan iklim politik dan mentaliti masyarakat Malaysia. Tetapi oleh sebab yang melontarkan idea ini adalah Presiden PAS, maka saya yakin ia boleh menjadi pilihan membaikpulih negara yang wajib diperhalusi sebaiknya.

Sejarah telah membuktikan idea-idea TGHH bukan sesuatu yang remeh. Sebelum ini orang yang sama telah melontar idea konsep kerajaan tanpa pembangkang namun ditolak mentah-mentah oleh rakan sejawat.

Hanya setahun dua kebelakangan ini barulah idea tersebut mula difahami dan cuba dibawa kembali dengan nama Konsensus Nasional oleh Anwar Ibrahim dan Save Malaysia oleh Lim Kit Siang. Begitu juga pendapat beliau dalam isu tukar Najib, 16 September dan Langkah Kajang. Semuanya tepat seperti yang disebut walaupun ramai yang menyanggah pada mulanya.

Melihat telatah orang politik yang berada di atas sekarang, saya yakin ramai rakyat yang bersetuju dengan idea kerajaan teknokrat ini. Soalnya sekarang; adakah ahli-ahli politik sama ada pemerintah sekarang mahupun pembangkang sanggup menerimanya?

Berdasarkan pengamatan terhadap fiil perangai beberapa orang tokoh politik, saya berpendapat ramai mereka yang tidak bersetuju kerana matlamat penglibatan kebanyakan politikus dalam parti politik adalah untuk menjadi menteri, penguasa dan sebagainya. Amat sedikit mereka yang berjiwa patriotis tulus hati menyertai politik demi agama, bangsa dan negara

Masyarakat di negara berkrisis kebanyakannya telah mendesak untuk diwujudkan pemerintahan teknokrat menggantikan pemerintah politik ini. Rakyat Greece telah melihat sendiri kebodohan politikus mengurus ekonomi sehingga negara diancam krisis kedaulatan.

Lalu mereka bangkit mendesak pihak teknokrat mengambil alih pemerintahan negara. Perkara ini juga turut berlaku di Algeria dan Tunisia selain telah diamalkan di negara-negara maju seperti Jerman, Rusia, USA, Kanada dan Czech Republic dalam pelbagai bentuk metod teknokrasi.

Bukan semua teknokrat tahu berpolitik dan bukan semua politikus itu berminda teknokratik. Di hadapan mata kita sudah terbukti banyak projek dan program yang dijalankan kerajaan hanya bersifat menjaga imej politik tanpa sebarang manfaat kepada rakyat mahupun negara.

Politikus yang bukan teknokrat umpamanya Najib. Gagasan 1 Malaysia dengan BR1M, 1M4U, dan macam-macam slogan lagi hanya bersifat populis tetapi tidak mampu melonjak Malaysia ke arah yang lebih baik. Akibatnya hutang negara tidak semakin mengecil dan bebanan rakyat tidak semakin ringan.

Teknokrat yang bukan politikus pula umpama Tan Sri Khalid Ibrahim. Zaman pemerintahannya telah berjaya menambah rizab simpanan Selangor berbilion ringgit di samping banyak polisi membantu rakyat yang diperkenalkan seperti air percuma, skim simpanan kelahiran Selangor dan sebagainya. Tetapi oleh kerana beliau tidak mahir berpolitik dalam PKR, orang sebegini baik telah dipecat dari parti tersebut.

Ini hanyalah beberapa telahan awal. Banyak lagi aspek lain yang belum diteliti. Apapun, negara kita perlukan solusi bukan sekadar argumentasi. Sudah tiba masa kita mencari berbagai penyelesaian daripada sekadar membantah dan berdemo. – HARAKAHDAILY 11/11/2015

Share on Myspace