CAP gesa Guan Eng umum projek di Pmtg Damar Laut

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengumumkan kepada penduduk negeri ini khususnya golongan nelayan di kawasan Permatang Damar Laut apakah tujuan kerja-kerja mengukur, menanda kawasan dan menggali dasar laut dilakukan oleh sebuah syarikat di kawasan berkenaan.

"CAP kesal walaupun perkara ini telah CAP kemukakan kepada pihak jabatan, agensi serta Exco kerajaan negeri untuk mengetahui apakah tujuan projek tambak laut yang akan dilaksanakan di kawasan itu nanti, pihak berkenaan langsung tidak tahu tentang projek berkenaan malah ada yang tidak memberi jawapan terhadap soalan-soalan yang CAP kemukakan kepada mereka," ujar Presiden CAP, SM Mohamed Idris.

Katanya, pihak-pihak berkenaan ialah Pejabat Tanah Daerah Barat Daya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Jabatan Perancang Bandar dan Desa Pulau Pinang, Exco Kerajaan Tempatan Chow Kon Yeow dan Exco Alam Sekitar Phee Boon Poh.

"Justeru kami meminta Lim Guan Eng selaku Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah Pulau Pinang memberitahu apakah tujuan kerja-kerja mengukur dan menggali dasar laut dilakukan di kawasan Permatang Damar Laut di sini termasuk bukit dan hutan di Pantai Indah di tempat itu," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Oktober lalu CAP telah membuat tinjauan di kawasan terbabit dan mendapati kerja-kerja mengukur, menanda kawasan dan menggali dasar laut sedang dilakukan oleh pekerja-pekerja syarikat yang terlibat.

Malah, kata beliau kalangan nelayan dan penduduk tempatan yang ditemui juga tidak mengetahui apakah tujuan sebenar kerja-kerja tersebut dilakukan.

Berikutan dengan itu, ujarnya Lim Guan Eng yang juga Exco Penerangan perlu memberi penjelasan secara terperinci kepada rakyat negeri ini apakah jenis projek pembangunan yang bakal dilaksanakan di kawasan itu dan kesannya kepada penduduk setempat.

Katanya, CAP bimbang dan percaya jika projek tambak laut dilaksanakan di kawasan berkenaan ia akan menjejaskan alam sekitar dan kehidupan 300 nelayan pantai yang bergantung hidup kepada sumber laut di kawasan tersebut.

Justeru, beliau menegaskan CAP membantah keras jika projek tambak laut hendak dilaksanakan di siti dan menggesa projek itu dibatalkan segera. - HARAKAHDAILY 11/11/2015

Share on Myspace