Solidariti sokongan aktivis demokrasi Mesir

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menghantar satu memorandum kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam masa terdekat.

"Ia adalah satu solidariti umat Islam untuk menentang krisis hak asasi manusia yang sedang berlaku di Mesir sejak rampasan kuasa rejim Al-Sisi pada bulan Julai 2013," kata Timbalan Ketua DPPM, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Menurutnya, memorandum itu juga menyokong tindakan The Freedom & Justice Party yang telah menghantar laporan penuh mengenai krisis hak asasi manusia di Mesir kepada PBB untuk menuntut satu siasatan segera terhadap rejim al-Sisi.

Katanya, walaupun laporan ‘Universal Periodic Review on Egypt 2014’ telah menyarankan 300 rekomendasi untuk memperbaiki situasi hak asasi manusia di negara tersebut, namun ia bertambah buruk.

Beliau menambah, sehingga Mei 2015, seramai 669 orang telah dijatuhkan hukuman mati termasuk Presiden sah Mesir, Mohammad Morsi.

Katanya lagi, DPPM menegaskan supaya pihak UNHCR tidak toleran terhadap rejim al-Sisi yang secara eksplisit melanggar rekomendasi untuk memperbaiki situasi hak asasi manusia di Mesir.

"Kami juga dengan tegas menggesa supaya satu tekanan politik harus diberikan untuk menyekat kezaliman yang dilakukan terhadap semua dakwaan ke atas para aktivis demokrasi di Mesir," ujarnya dalam satu kenyataan. - HARAKAHDAILY 11/11/2015

Share on Myspace