Permohonan Najib batal saman PKR didengar 14 Dis

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 14 Dis untuk mendengar permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk membatalkan saman yang difailkan PKR atas dakwaan berbelanja berlebihan dalam kempen pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam-peguam terbabit.

Pada 12 Ogos lepas, PKR memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan berbelanja berlebihan dalam kempen PRU13 dan melanggar undang-undang pilihan raya.

Plaintif dalam saman itu ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana sabitan kes liwat, anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, anggota Parlimen Batu Tian Chua, bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan anggota Gerakan Harapan Baru Dr Dzulkefly Ahmad.

Selain Najib dan Tengku Adnan, mereka turut menamakan syarikat 1Malaysia Development Berhad dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai defendan. - Bernama

Share on Myspace