Mapim lancar jelajah ceramah bahaya vape

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

MAPIM mengesa kerajaan tidak menggadai kesihatan rakyat atas perniagaan mereka yang meraih keuntungan menjual vape.

Berita seorang pengguna vape yang disiarkan dalam akbar, yang cedera parah dimukanya, sudah cukup membukti bahawa alat yang merangsang ketagihan baru itu tidak bermanfaat sama sekali.

Mapim melancarkan kempen dan jelajah menyampaikan ceramah dan penerangan keseluruh negara untuk mendedahkan bahaya vape. Tujuan kempen ini adalah untuk membenteras satu lagi musibah yang melanda masyarakat yang dieksploitasi sepenuhnya oleh peniaga kononnya bermanfaat kepada perokok.

Kempen ini akan disertai beberapa doktor yang bersedia menjelaskan apa kesan ketagihan vape ke atas kesihatan yang muncul dan menjadi gejala baru diakhir-akhir ini.

Mapim pada hari ini menubuhkan Koaliasi Ibu bapa - NGO Anti Vape KIBNAV (Parents-NGO Anti Vape Coalliation) untuk melancarkan kempen dan desakan kepada kerajaan dan masyarakat berkuasa supaya mengharamkan vape.

Kini ada pihak yang mempertahankan vape sebagai industri perniagaan dengan mendakwa vape tidak bahaya dan boleh menjadi mata pencarian kepada pelbagai pihak. Kami berpendapat sewajarnya rangsangan untuk berniaga, bukan dengan alat seperti ini yang dijadi bahan jualan.

Mereka juga mendakwa vape boleh membantu perokok menghentikan tabiat perokok, tetapi bagi kami ia hendaklah hanya diguna atas preskripsi doktor.

Kami yakin pihak yang mewar-warkan manfaat dan dakwaan betapa vape itu tidak merbahaya, jelas  tidak menghormati fatwa yang telah diistiharkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan vape dari sudut syarak baru-baru ini.

Kejadian vape meletup di muka seorang pengguna bukan satu insiden yang asing. Di beberapa negara yang lain kes vape meletup telah pun direkod.

Di Amerika Dyarikat sahaja 25 kes vape meletup telah dilaporkan pada tahun 2014. Di UK seorang lelaki terbunuh akibat bateri vape yang sedang dicaj meletup dimuka.

Bagi kami, kerajaan sedang mendedahkan rakyat kepada risiko kecedaran dan kehilangan nyawa dengan bersandar kepada hujah vape selamat dan boleh memberi peluang kepada perniagaan rakyat.

Padahal kajian standard keselamatan telah menetapkan piawaian dalam penggunaan bateri lithium-ion yang diguna dalam vape belum mengesahkan ia selamat.

Setakat ini tidak ada peraturan, kod atau undang-undang yang digunapakai untuk keselamatan produk elektronik, bateri atau bateri pada rokok elektronik. Sehingga ini tidak ada peraturan untuk mewajipkan uji keselamatan produk vape yang dikenakan.

Setakat temuramah kami dengan semua ibu bapa pada minggu ini, tidak ada satupun dalam kalangan mereka yang mahu anak mereka terlibat dengan ketagihan mengguna vape.

Adakah Menteri dan pihak tertentu yang menyokong vape sanggup melihat anak mereka terjebak dengan ketagihan vape?

KIBNAV akan mula bergerak ke sekolah dan masjid dan menerangkan kepada awam mengenai bahaya vape dan meneruskan kempen supaya vape diharamkan. – HARAKAHDAILY 11/11/2015

Share on Myspace