19 ejen kad istiqamah terima watikah pelantikan

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Sebanyak 19 ejen kad istiqamah menerima watikah pelantikan pada Majlis Pelancaran Ejen Kad Istiqamah.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop di MyHarakah Bazar, hari ini.

Dr Rosli ketika pelancaran itu berkata majlis itu adalah sebagai usaha menggerakkan dan mempromosikan kad istiqamah yang diperkenalkan pada muktamar lepas.

"Hari ini kita meraikan ejen-ejen yang kita lantik sebelum ini, kita menyerahkan watikah sebagai pelantikan rasmi sebagai ejen kad istiqamah.

"Kita mensasarkan ejen seramai seratus orang di seluruh negara dengan sasaran jualan. Kad sebanyak seratus ribu dalam masa enam bulan hingga setahun," katanya.

Menurut beliau lagi, pada majlis hari ini ejen-ejen diberi taklimat bagaimana ingin akses ke lawan sesawang kad istiqamah.

"Setiap ejen akan diberi komisyen sebanyak 20 hingga 40 peratus bagi setiap kad yang dijual.

"Ini memberi peluang kepada ejen-ejen untuk menambah pendapatan mereka dan secara tidak langsung meringankan beban mereka," katanya lagi.

Tambah beliau, setiap mereka yang menjadi ahli kad istiqamah akan berpeluang untuk akses ke produk digital seperti e-Harakah, ebook dan arkib Harakahdaily.

"Produk digital seperti media elektronik (e-paper) sudah menjadi rujukan setiap pembaca dan kita Harakah tidak mahu ketinggalan dalam teknologi ini.

"Dengan konsep ini kita yakin berita-berita dari Harakah dapat dibaca di mana-mana tempat mahupun di luar negara. Maklumat yang kita sampaikan lebih pantas malah kita turut dapat menjimatkan kos," tambah beliau lagi.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Ahmad Faisal Tawang menjelaskan seramai 40 orang ejen telah berdaftar, namun hanya 19 orang yang hadir pada majlis pelancaran hari ini. - HARAKAHDAILY 11/11/2015

Share on Myspace