Sultan Kelantan harap naik taraf lapangan terbang

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bertitah Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu adalah salah satu lapangan terbang tersibuk di Malaysia perlu diberi keutamaan.

Baginda yakin lapangan terbang itu dapat dijadikan hab penerbangan serantau serta dapat menyediakan perkhidmatan penerbangan antarabangsa secara terus.

Oleh itu, Sultan Kelantan berharap agar pembesaran dan penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra itu menjadi kenyataan.

Pada penzahiran istiadat penganugerahan Kehormatan Negeri Kelantan Tahun 2015 sempena perayaan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-46 di Istana Balai Besar di sini pagi tadi, Sultan Kelantan bertitah, dengan penaiktarafan lapangan terbang itu juga membolehkan penerbangan mengerjakan umrah dan haji ke Tanah Suci, ke negara Thailand, Vietnam dan lain-lain negara.

Selain itu, baginda mendapat maklum sebanyak 393 pembinaan bantuan rumah kekal kepada mereka ditimpa musibah banjir tahun lepas telah siap dibina, manakala 560 unit lagi sedang dalam pembinaan.

“Selain itu, beta berharap semua pihak berada dalam siap sedia, menghadapi sebarang kemungkinan banjir lagi.

“Pelan ‘A’, pelan ‘B’ dan seterusnya perlu diatur agar tidak berlaku perkara di luar jangkaan, kejutan dan kecemasan,” titah baginda.

Mengenai perancangan pembangunan kawasan perindustrian Tok Bali dikendalikan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Sultan Kelantan berharap pembangunan tersebut dapat dilaksanakan bagi memastikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Tok Bali sebagai hab pelaburan perimpak tinggi dapat dicapai.

“Di kesempatan ini juga, beta berasa terharu atas pemergian buat selama-lamanya Almarhum Tuan Guru Datuk Bentara Setia Datuk Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat mantan Menteri Besar Negeri Kelantan.

“Dan beta berterima kasih atas segala jasa-jasa, keringat, pemikiran serta tenaga yang beliau curahkan untuk membangunkan Negeri Kelantan sepanjang beliau memegang jawatan Menteri Besar selama 24 tahun, dengan berjaya membawa Kelantan ‘Membangun Bersama Islam,” titah baginda. - HARAKAHDAILY 11/11/2015

Share on Myspace