Potong RM1.4b peruntukan JPM tambah bajet IPTA 2016

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pada masa sekarang, pergantungan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada kerajaan adalah pada kadar 85-90 peratus.

Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin berkata, sasaran kerajaan adalah menurunkan pergantungan IPTA kepada kerajaan sehingga 70% sahaja menjelang 2020.

"Maka, kita boleh menjangkakan bahawa pemotongan bajet IPTA akan berterusan pada tahun-tahun hadapan," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah
.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam berjanji akan meningkatkan dana IPTA pada masa akan datang sekiranya institusi IPTA mampu menghasilkan kebolehpasaran yang tinggi di kalangan graduan mereka.

Kenyataan beliau seolah-olah mengatakan IPTA sekarang tidak memenuhi KPI yang ditetapkan.

Pada hakikatnya Universiti Malaya mengalami pemotongan bajet terbesar iaitu 27.3% dalam bajet 2016.

Adakah UM telah gagal menunjukkan kebolehpasaran yang tinggi? Adakah kerajaan mempertikaikan UM sebagai universiti terulung di Malaysia? Maka, kenyataan Perdana Menteri adalah "misleading".

Dalam sesi parlimen ini juga, Menteri Pelajaran Tinggi telah memberi ketetapan (confirmation) bahawa pemotongan bajet IPTA sememangnya adalah dasar kerajaan untuk menurunkan pergantungan IPTA kepada kerajaan.

Pada masa sekarang, pergantungan IPTA kepada kerajaan adalah pada kadar 85-90%. Sasaran kerajaan adalah menurunkan pergantungan IPTA kepada kerajaan sehingga 70% sahaja menjelang 2020. Maka, kita boleh menjangkakan bahawa pemotongan bajet IPTA akan berterusan pada tahun-tahun hadapan.

Isu sebenar pemotongan bajet IPTA sebanyak RM1.4 billion adalah isu salah prioriti (wrong priority) dalam bajet 2016. Kerajaan seharusnya meletakkan pendidikan anak muda pada tempat pertama.

Malangnya, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan membuat keputusan memotong bajet RM1.4 billion daripada IPTA tetapi meningkatkan peruntukan Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM1 bilion. Ini, pada pendapat saya adalah salah meletakkan prioriti.

Parti Keadilan membantah pemotongan bajet IPTA kerana ia merupakan satu tanggungjawab Negara dan juga pelaburan yang bijak.

Mengikut kajian OECD, pelaburan ke dalam pendidikan tinggi akan membawa pulangan yang tinggi kepada kerajaan.

Secara purata, setiap ringgit kerajaan melabur dalam pelajaran tinggi, kerajaan akan mendapat 6 ringgit dalam bentuk cukai. Pelaburan dalam pendidikan tinggi juga akan mendapat Mutiplier effect yang tinggi.

Dengan pemotongan teruk ke atas IPTA, kerajaan Perdana Menteri mungkin kehilangan sokongan mahasiswa.

Dalam PRU13 yang lepas, Umno BN hanya mendapat 46% sokongan orang muda dalam kategori umur 21-25. Pemotongan bajet IPTA dua tahun berturut-turut akan menyebabkan kesangsian kalangan mahasiswa.

Adakah Umno BN telah “give up” cuba mendapat sokongan orang muda terutamanya golongan mahasiswa yang kebanyakan berpendidikan tinggi dan pandai berfikir?

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri masih ada peluang memperbetulkan bajet IPTA 2016.

Saya menyeru Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan mengemukakan usul dalam peringkat jawatankuasa Parlimen minggu depan dengan memotong RM1.4 bilion daripada Jabatan Perdana Menteri, kemudiannya ditambahkan ke dalam peruntukan bajet IPTA 2016. Ini adalah peluang untuk memperbetulkan perbelanjaan demi mahasiswa dan masa depan negara. - HARAKAHDAILY 12/11/2015

Share on Myspace