Diabetes kanak-kanak: CAP gesa ambil langkah segera

SM MOHAMED IDRIS | .

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa yang berkenaan supaya mengambil langkah segera untuk mengurangkan diabetes dalam kalangan kanak-kanak.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), diabetes Jenis 2 semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Malah di sesetengah tempat, diabetes Jenis 2 telah menjadi diabetes utama yang membabitkan kanak-kanak. Peningkatan dalam kadar obesiti dan kurangnya kegiatan fizikal di seluruh dunia dipercayai menjadi faktor penyumbang kepada gejala kesihatan ini.

Malaysia tidak terkecuali daripada dibelenggu masalah ini memandangkan semakin ramai golongan muda, ada yang semuda usia 7 tahun, menderitai diabetes Jenis 2 (TD2) dan angka ini terus meningkat. Ini berikutan lonjakan dalam kadar obesiti yang ada kaitannya dengan tabiat makan yang buruk.

Perkara ini tidak memeranjatkan kerana statistik bagi kesihatan awam memperlihatkan peningkatan kes-kes obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Menurut satu tinjauan, seorang dalam setiap lima orang kanak-kanak didapati mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Sementara itu beberapa kajian telah menunjukkan bahawa paras kes obesiti kanak-kanak di Malaysia adalah lebih tinggi daripada di kebanyakan negara Asia. Data dari pelbagai kumpulan kajian menunjukkan sehingga 15% anak kecil dan kanak-kanak prasekolah di negara ini mempunyai berat badan berlebihan dan obes. Sekitar 30% kanak-kanak sekolah rendah mungkin mempunyai berat berlebihan atau obes. Statistik ini tidak menghairankan kerana kanak-kanak dan remaja yang gemuk mudah dilihat di tempat awam.

Kanak-kanak pada hari ini terdedah kepada pelbagai faktor gaya hidup yang mempengaruhi tabiat makan mereka. Ibu bapa boleh membentuk tabiat dan amalan makan yang sihat serta mendidik anak mereka mengenai kepentingan pemakanan yang baik sejak kecil. Mereka perlu menunjukkan contoh yang baik dengan mengamalkan tabiat makan yang baik. Ini berikutan peningkatan kes-kes obesiti kanak-kanak mungkin berpunca daripada tabiat makan yang buruk yang diamalkan oleh ibu bapa mereka.

Adalah dianggarkan kira-kira 40% kes obesiti dalam kalangan kanak-kanak adalah berpunca daripada pilihan gaya hidup ibu bapa mereka, misalnya gemar membawa anak-anak makan malam di luar. Masalah ini bertambah buruk dengan kemunculan gerai makan dan restoran makanan segera yang dibuka 24 jam di seluruh negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Apabila kanak-kanak terdedah kepada diet tidak seimbang sejak kecil lagi, mereka akan belajar menerimanya sebagai perkara biasa dan menjadikannya sebagai satu tabiat dalam hidup. Kecenderungan memakan makanan yang tinggi kalori, lemak, garam dan gula boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan, termasuk obesiti.

Kanak-kanak yang berlebihan berat badan atau obes cenderung mengalami beberapa masalah kesihatan yang serius antaranya diabetes Jenis 2, tekanan darah tinggi, dan paras kolesterol tinggi yang kesemuanya pernah dianggap penyakit yang hanya menyerang orang dewasa.

Menurut Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, selain masalah kesihatan, kanak-kanak yang obes atau berlebihan berat badan mungkin juga mengalami masalah psikologi seperti berasa rendah diri kerana sering diejek atau dibuli oleh rakan sebaya, mengembangkan tabiat makan yang kurang sihat dan mengalami gangguan pemakanan seperti anoreksia nervosa dan bulimia, lebih mudah menjadi murung atau menyalahgunakan dadah.

Sebenarnya tidak ada punca tunggal bagi obesiti dalam kalangan kanak-kanak; sebaliknya ia adalah gabungan beberapa faktor seperti tabiat makan yang buruk, diet berkalori tinggi, dan kurangnya aktiviti fizikal menyebabkan pengambilan kalori  yang melebihi keperluan tubuh.

Tambahan pula, terlalu banyak menonton (TV, komputer dan telefon pintar) turut menyumbang kepada gaya hidup santai kanak-kanak. Sekarang mereka kurang melakukan aktiviti fizikal baik di sekolah mahupun di rumah. Sejak beberapa tahun lepas berlaku perubahan yang besar dalam hiburan untuk kanak-kanak; daripada aktiviti fizikal atau bermain di luar rumah, kepada bermain permainan komputer ataupun menonton TV. Lebih memburukkan keadaan, tidak terdapat banyak tempat yang selamat atau sesuai untuk mereka bermain di luar rumah, terutama di kawasan bandar.

Diabetes merupakan salah satu keadaan kronik yang sering membabitkan kanak-kanak. Ia telah dikaitkan dengan obesiti, malah boleh menyerang kanak-kanak termasuk bayi tanpa mengira usia. Jika tidak dikesan sejak kecil, diabetes boleh membunuh atau mengakibatkan kerosakan otak yang serius. Namun diabetes dalam kanak-kanak sering terlepas pandang kerana sering disalah anggap sebagai flu atau mungkin tidak dikesan sama sekali.

Memandangkan hari ini adalah Hari Diabetes Sedunia, CAP ingin menggesa pihak berkuasa supaya mengambil langkah segera untuk menangani masalah obesiti yang semakin meningkat dalam kanak-kanak. Ini kerana obesiti akan membawa kepada diabetes dan pelbagai penyakit lain termasuk kanser ketika dewasa. Di antara langkah-langkah yang perlu diambil termasuklah:

- Mengharamkan mesin minuman di sekolah, hospital dan lain-lain tempat awam

- Mewajibkan pelabelan yang jelas bagi kandungan lemak dalam makanan, termasuk makanan segera

- Mengadakan kempen pendidikan bagi ibu bapa dan kanak-kanak mengenai bahaya obesiti  dan diabetes

- Menyediakan kemudahan untuk rekreasi di semua kawasan kediaman

- Mengenakan cukai ke atas makanan remeh yang tinggi kandungan gula dan lemak di dalamnya

Ibu bapa perlu menyemai tabiat makan yang baik dalam anak-anak mereka. Pada masa yang sama, mereka juga perlu menghabiskan masa yang berkualiti bersama anak-anak dengan turut membabitkan diri dalam aktiviti fizikal. - HARAKAHDAILY 12/11/2015

Penulis ialah Presiden CAP.

Share on Myspace