Punca banjir lumpur Lentang dijangka diketahui 2 minggu

BERNAMA | .

BENTONG: Punca kejadian banjir lumpur di Kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dijangka diketahui selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan tentang perkara itu akan dimaklumkan selepas pakar-pakar yang berkaitan selesai membuat kajian terperinci berhubung insiden tersebut.

"Tunggu pakar kita selesai buat siasatan, kawasan yang terlibat sehingga dua kilometer ke dalam, jadi mungkin ambil masa sehingga dua minggu untuk buat dokumentasi," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pembersihan kejadian tanah runtuh di lebuh raya berkenaan sebelum melakukan tinjauan udara di sini Khamis.

Kejadian tanah runtuh berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada 6.30 petang semalam menyebabkan sebahagian lebuh raya dari kedua-dua arah tidak boleh dilalui dengan tiga kenderaan persendirian dan sebuah lori angkut terkandas di kawasan itu, namun kesemua pemilik kenderaan berjaya diselamatkan.

Katanya, berdasarkan laporan awal daripada pemegang konsensi lebuh raya berkenaan Anih Berhad, terdapat 'aktiviti' di tengah hutan menyebabkan ada aliran air yang membawa segala bahan seperti serpihan kayu, batu dan balak sehingga melimpah masuk ke lebuh raya.

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk mengaitkan kejadian itu dengan aktiviti pembalakan selagi siasatan belum selesai dijalankan.

"Saya kira ada beberapa perancangan yang kita akan lakukan di bawah kementerian di mana kita akan duduk berbincang bersama pegawai daerah, JKR Pahang dan kerajaan negeri untuk mengetahui punca sebenarnya.

"Kita akan mencari resolusi terhadap perkara ini demi kelestarian masa depan infrastruktur terhadap alam sekitar kepada keadaan sekeliling termasuk aktiviti pembalakan dan pembangunan di tanah tinggi di mana kita mesti mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan," katanya.

Katanya ia bagi memastikan sebarang kegiatan pembangunan yang dilakukan itu tidak mendatangkan bahaya kepada infrastruktur terutamanya melibatkan pengguna jalan raya.

Sementara itu Fadillah berkata kerja-kerja pembersihan lebuh raya berkenaan kini masih giat dilakukan dan pengguna jalan raya diminta tidak memasuki lebuh raya itu bagi mengelak gangguan terhadap kerja-kerja pembersihan.

"Apabila ada arahan tidak boleh masuk jangan masuk, sebab nanti ia akan menjejaskan kerja-kerja khususnya kenderaan berat yang datang membantu membersihkan banjir lumpur," katanya.

Setakat ini, beliau berkata hanya satu lorong dibuka tetapi hanya untuk menyuraikan kenderaan yang tersangkut disebabkan kejadian semalam dan tidak dibuka kepada kenderaan lain kerana dikhuatiri akan berlaku banjir lumpur kedua.

Menurutnya pihak lebuh raya akan berbincang dengan polis dan mendapatkan laporan penuh terlebih dahulu sebelum membuka laluan untuk memastikan lebuh raya ini selamat untuk dilalui.

Dalam masa yang sama, beliau juga tidak menggalakkan pengguna jalan raya khususnya kenderaan berat menggunakan jalan lama Bentong-Kuantan kerana jalan itu terlalu kecil selain turut dilanda banjir semalam sebaliknya disaran menggunakan jalan alternatif dari Karak-Bahau seterusnya ke Kuantan. - Bernama

Share on Myspace