1,000 doktor tidak minat, perlu tubuh Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan

USTAZ IDRIS AHMAD | .

RAMAI yang kehairanan membaca kenyataan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Melaka bahawa seramai 1,000 doktor pelatih tidak meneruskan kerjaya sebagai pegawai perubatan disebabkan masalah penguasaan bahasa Inggeris sedangkan, kebanyakan pembelajaran dan buku rujukan mereka menggunakan bahasa tersebut.

Walaupun bahasa merupakan alat komunikasi terpenting, namun perlu disedari bahawa masalah sebenarnya adalah permasalahan sikap dan persekitaran kerja yang tidak sihat.

Memetik laporan Health Facts 2015, nisbah doktor kepada populasi Malaysia setakat Disember 2014 adalah 1:661. Kita masih ketinggalan jika dibandingkan dengan negara maju seperti New Zealand (1:465), United Kingdom (1:356) dan Korea Selatan (1:467). Juga, maklumat daripada World Banks menunjukkan Malaysia masih belum mencapai matlamat status kesihatan yang ditetapkan oleh Millennium Developmental Goals.

Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah yang berkesan dan tersusun bagi menarik lebih ramai pegawai perubatan ke dalam sektor perkhidmatan awam di samping mengekalkan tenaga sedia ada; sebagai prasyarat kepada penyampaian sistem kesihatan yang lebih baik.

Realitinya hari ini adalah peningkatan jumlah pegawai perubatan berlangsung tidak seiring dengan perkembangan keutuhan pengurusan sumber manusia dan kelestarian profesionalisme.

Buktinya adalah keluhan pegawai perubatan mengenai waktu kerja yang tidak terbatas, beban kerja yang tidak seimbang, kurangnya budaya kerja berpasukan, karenah birokrasi sistem sokongan serta kekangan latihan kepakaran.

Ini semua menyebabkan tekanan di tempat kerja yang tidak menyumbang kepada kepuasan kerjaya. Natijahnya adalah pudarnya komitmen untuk terus berkhidmat dan mengembangkan kerjaya.

Adalah dianggarkan dalam masa 4 tahun akan datang, sejumlah 20,151 jawatan pegawai perubatan perlu diwujudkan bagi menampung sasaran 1 doktor 400 rakyat menjelang 2020.

Untuk itu, Kongres Rakyat telah mengutarakan usul penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan sesuai dengan keperluan untuk memantapkan penyampaian perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

Selaras dengan peruntukan Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan, sudah sampai masanya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi memperkasa dan melicinkan pengurusan sumber manusia di bidang kesihatan.

Ini selaras dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan bahawa sumber manusia merupakan komponen terpenting bagi menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

Antara perkara utama yang diharapkan dengan penubuhan suruhanjaya ini adalah supaya dapat dijalankan satu kajian teliti untuk menyiasat punca berlakunya penghijrahan pegawai dan pakar perubatan daripada perkhidmatan awam.

Kita mahu melihat usaha-usaha yang serius daripada kerajaan untuk menawarkan kualiti hidup yang lebih baik kepada profesion perubatan. Contohnya, wujudkan undang-undang yang menyelia waktu kerja semua pegawai perubatan termasuklah pakar.

Di Eropah sudah dilaksanakan peraturan yang hanya membenarkan doktor bekerja tidak lebih daripada 48 jam seminggu. Kita akur keperluan di Malaysia berbeza justeru memerlukan pendekatan yang berbeza.

Namun perlu dirintis usaha yang konkrit bagi melindungi pegawai perubatan daripada membahayakan nyawa pesakit mahupun nyawa mereka sendiri akibat kepenatan dan tekanan.

Suruhanjaya tersebut juga diharap berperanan bagi menggarap penyampaian perkhidmatan yang berkualiti melalui komitmen kerja berpasukan yang tinggi di kalangan profesion perubatan.

Adalah amat malang sekali melihatkan segelintir doktor pelatih yang mengalami tekanan perasaan akibat budaya kerja yang tidak sihat, di samping masalah peribadi. Maka, peranan pakar klinikal kini bukan sekadar merawat pesakit sahaja tetapi lebih daripada itu, mereka adalah contoh ikutan serta bertanggungjawab menyelia dan membimbing doktor yang bekerja di bawah mereka.

Ini menuntut anjakan perubahan sikap, komitmen dan latihan untuk mengasah kemahiran berorganisasi. Juga, sebahagian daripada kepuasan berkhidmat adalah untuk melihat penjagaan kesihatan yang lebih bersepadu di mana setiap disiplin perubatan dan kesihatan boleh berkomunikasi sesama mereka tanpa karenah birokrasi yang hanya akan merugikan kerajaan dan rakyat.

Oleh itu, kerajaan diseru supaya lebih prihatin terhadap persekitaran kerja pegawai perubatan jika berhasrat untuk mempersembahkan sistem kesihatan bermutu tinggi demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

Kerajaan perlu sedar bahawa pendekatan yang bersifat jangka pendek atau symptomatic tidak akan membawa negara ke mana, malah menambah beban kepada sumber sedia ada.

Besarlah harapan rakyat dengan tertubuhnya Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan mampu untuk menjamin perkhidmatan yang lebih efisyen di samping menyemai persekitaran kerja yang kondusif dan produktif. Jangan disalahkan penguasaan bahasa menjadi punca diskriminasi kerana kelak yang ruginya adalah kesihatan rakyat dan masa depan negara. - HARAKAHDAILY 13/11/2015

Penulis ialah Naib Presiden PAS, Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Share on Myspace