Kelemahan alam sekitar undang bencana alam sekitar

SM MOHAMED IDRIS | .

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) amat sesal terhadap pihak-pihak berkuasa yang berkaitan kerana kelemahan penguatkuasaan telah mengundang bencana kepada alam sekitar sebagaimana yang berlaku di Lentang, Daerah Bentong, Pahang pada 11 November lalu.

Sepatutnya pihak-pihak berkuasa yang berkaitan menjadikan beberapa bencana yang berlaku sebelum ini sebagai ikhtibar supaya lebih bertanggungjawab dan memberi komitmen menguruskan alam sekitar dan sumber alam.

Sebagaimana diketahui kawasan kejadian tanah runtuh adalah terletak di banjaran utama yang merupakan sebagai ‘Central Forest Spine’ (CFS) Banjaran Titiwangsa.

Oleh kerana itu mengikut Rancangan Fizikal Negara (RFN) kawasan tersebut dikategori sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) yang perlu dipelihara.

Geofizikal dan topografi kawasan tersebut berbukit-bukau, mempunyai banyak alur dan punca air dan struktur tanah mudah terhakis.

Secara umum SAM mengenal pasti beberapa kegiatan yang boleh menyumbang kepada bencana alam sekitar di kawasan tersebut dan di kawasan jajaran CFS.

Antara kegiatan yang dikenal-pasti ialah pembalakan tidak terkawal seperti penebangan pokok di kawasan yang tidak dibenarkan, pembalakan di luar kawasan lesen yang juga dikategori sebagai salah-satu kegiatan pembalakan haram, penerokaan haram tanah kerajaan yang berhutan untuk tujuan pertanian dan beberapa kegiatan lain yang melibatkan penukaran guna tanah sedia ada.

Pihak-pihak berkuasa harus memahami bahawa apabila kawasan CFS yang dikategori sebagai KSAS dieksploitasi dan dilakukan kegiatan selain guna-tanah hutan, impaknya adalah terhadap hidrologi hutan.

Permukaan tanah yang terdedah kepada kadar curahan hujan yang tinggi akan menyebabkan lebihan air larian permukaan, hakisan lereng bukit, kerosakan struktur sungai dan kemerosotan kualiti air.

Litupan hutan yang mempunyai dirian pokok dan tumbuhan mampu menadah curahan hujan manakala reputan di lantai hutan melindungi tanah daripada impak secara terus curahan hujan.

Oleh itu SAM berharap pihak-pihak berkuasa yang berkaitan menghenti dan tidak membenarkan lagi kegiatan-kegiatan yang berisiko impak di KSAS terutama dalam Hutan Simpanan Kekal.

SAM juga berharap Pihak Berkuasa Negeri dan pihak-pihak berkuasa berkaitan mematuhi dan mengguna pakai pelan perancangan fizikal terutama RFN dan lain-lain dasar yang berkaitan di samping menguatkuasakan peruntukan undang-undang sedia ada. - HARAKAHDAILY 13/11/2015

Penulis ialah Presiden SAM.

Share on Myspace