Bayaran bil bercetak Telekom Malaysia tidak adil - CAP

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin menyuarakan pandangan berkenaan isu Telekom Malaysia (TM) tidak berlaku adil kepada pelanggannya apabila memutuskan untuk mengenakan bayaran RM5 bagi setiap bil TM bercetak bermula Januari 2016.

"Langkah ini amat merugikan kepada generasi lama yang merupakan majoritinya adalah golongan warga emas," ujar presidennya, SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin menyuarakan pandangan berkenaan isu Telekom Malaysia (TM) tidak berlaku adil kepada pelanggannya apabila memutuskan untuk mengenakan bayaran RM5.00 bagi setiap bil TM bercetak bermula Januari 2016.

Langkah ini amat merugikan kepada generasi lama yang merupakan majoritinya adalah golongan warga emas.

Kumpulan umur ini biasanya tidak lagi bekerja dan bergantung kepada simpanan, pencen atau anak-anak mereka bagi sokongan kewangan.

Malah kebanyakan daripada mereka tidak tahu bagaimana menggunakan komputer.

Mereka tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa membayar RM5.00 setiap bulan jika mereka mahu perkhidmatan telefon diteruskan.

Malah jika mereka dalam kumpulan usia yang tahu menggunakan teknologi moden, mungkin mereka mengalami halangan dalam bidang lain.

Contohnya, mereka yang berada dalam kumpulan yang berpendapatan rendah atau mereka yang tinggal di kawasan luar bandar berkemungkinan tidak mempunyai kemudahan untuk memeriksa bil TM mereka secara atas talian.

Sekali lagi, jika TM meneruskan rancangannya itu, mereka ini tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa membayar tambahan RM5.00 setiap bulan untuk mendapatkan bil bercetak.

Adakah wajar untuk meningkatkan beban kewangan mereka?

RM5.00 sebulan bersamaan tambahan RM60.00 yang terpaksa mereka serahkan kepada TM setiap tahun.

Di samping itu, tidakkah RM5.00 sebulan bagi bil bercetak itu terlalu tinggi?

Kosnya hanya sekitar RM0.60 untuk menghantar beberapa keping kertas dan tidak begitu banyak untuk mencetak bil. Ia kelihatan seperti cadangan TM untuk mengenakan bayaran untuk bil bercetak pada Januari tahun depan hanyalah satu tindakan untuk mengaut keuntungan.

Ketika kita sedang bergerak ke arah kemajuan teknologi dan era mesra alam sekitar, kita boleh menggalakkan orang ramai untuk menerima dan mengamal pandangan ini tetapi tidak seharusnya kita memaksa mereka untuk menerimanya.

Kami menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menghentikan rancangan TM untuk mengenakan bayaran tambahan RM5.00 ini bagi bil bercetak.

Bagi syarikat yang menyediakan perkhidmatan yang tidak berapa baik, hakikat bahawa mereka cuba untuk mengambil kesempatan daripada pelanggan mereka dengan taktik seperti ini amat mengecewakan dan memberangkan.

Sebelum TM bercadang untuk memperkenalkan sebarang bayaran tambahan, lebih baik mereka memberikan tumpuan ke atas usaha untuk memperbaiki perkhidmatan mereka terlebih dahulu.
                                                                 
Lebih baik pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak membenarkan TM untuk terus memonopoli pasaran talian tetap.

Memandangkan TM enggan untuk memperbaiki perkhidmatannya walaupun banyak aduan yang diterima terhadap mereka, pasaran perlu dibuka bagi membolehkan syarikat lain menyediakan perkhidmatan yang lebih bermutu berbanding TM.

Persaingan amat penting. Tanpanya kita akan mendapat syarikat seperti TM yang merasakan bahawa mereka akan terus menyediakan perkhidmatan yang menyedihkan tetapi masih terus mengambil wang hasil titik peluh pelanggan mereka.

TM boleh melakukan perkara ini kerana pengguna tidak mempunyai pilihan iaitu sama ada TM atau tiada perkhidmatan. Pengguna harus diberi peluang untuk memilih penyedia telekomunikasi yang memberi perkhidmatan yang memuaskan dengan kos yang munasabah. - HARAKAHDAILY 13/11/2015

Share on Myspace