Kurang tenaga kerja punca lewat urus kes cerai - Exco

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kekurangan hakim, pegawai penyelidik, pegawai pendaftar dan pegawai sokongan lain menjadi punca kelewatan perbicaraan dan pengurusan kes penceraian di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan  Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata tindakan pelanggan dan peguam yang menangguhkan kes pada tarikh sebutan turut menyumbang kepada kelewatan penyelesaian.

Katanya, kegagalan mematuhi prosiding ditetapkan mahkamah menyulitkan keadaan untuk sesuatu kes itu dibicarakan dalam tempoh singkat.

“Dalam hal ini pengendalian kes Mahkamah Syariah tidak terhad kepada perbicaraan kes sahaja sebaliknya pengendalian sesuatu kes secara umum akan melibatkan enam proses utama," ujarnya dipetik Selangor Kini.

Antaranya, kata beliau pendaftaran kes, penjadualan kes, sebutan, pengendalian, perbicaraan dan keputusan apabila semua proses itu ditetapkan undang-undang bertulis berkuatkuasa di Selangor.

“Proses ini perlu dipatuhi mahkamah dan tidak boleh diketepikan demi mengelakkan berlaku ketidakadilan dalam kes itu,” katanya semasa sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PKR-Batu Tiga) berkenaan peningkatan kes penceraian di Selangor sejak 2013 sehingga kini.

Adun Sijangkang itu menambah, kes penceraian di Selangor melibatkan dua aspek iaitu institusi keluarga penganut Islam (Mahkamah Syariah) dan bukan Islam (Mahkamah Sivil).

Katanya, sehingga 17 Oktober lalu, sebanyak 9,587 kes penceraian berdaftar di Mahkamah Syariah, manakala 1,498 kes di Mahkamah Sivil.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 6,467 kes tertunggak di Mahkamah Syariah, sementara 332 kes di Mahkamah Sivil dengan kedua-dua kes itu adalah baki semasa dan terdahulu.

“Kes berkenaan tertunggak kerana berlaku pertikaian daripada pihak yang menentang permohonan penceraian itu, justeru pelanggan boleh mendapatkan nasihat daripada bantuan guaman bertauliah,” katanya.

Share on Myspace