Pengeboman Paris: Hati-hati dengan provokasi

DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengecam segala bentuk pembunuhan terhadap sesiapa pun yang dilakukan tanpa hak sama ada pada tujuannya atau caranya.

DUPP menegaskan bahawa nyawa adalah sesuatu yang amat dihormati dan sangat dilindungi oleh Islam. Islam menetapkan hanya tiga kesalahan sahaja yang dikenakan hukuman bunuh. Sabda Nabi SAW, mafhumnya :

"Tidak halal darah seorang muslim, kecuali karena salah satu dari tiga hal: (i) orang yang berzina padahal ia sudah merasai nikmat persetubuhan hasil perkahwinan yang sah, (ii) membunuh jiwa yang dibalas dengan jiwa (iii) orang yang meninggalkan agamanya lagi memisahkan diri daripaza jama’ah (kaum muslimin)’.” [ HR al-Bukhâri dan Muslim ]

Pun begitu, hukuman ini hanya menjadi autoriti dan tanggungjawab kepada kerajaan yang memerintah - bukannya individu/organisasi awam - melalui pelaksanaan undang-undang jenayah syariah.

Tindakan membunuh orang awam dengan cara pengeboman serta tanpa hak seperti yang berlaku di Perancis pada hari ini adalah suatu perbuatan yang terkutuk dan bercanggah di sisi Islam serta keji pada pandangan kemanusiaan.

DUPP juga menyuarakan kebimbangan insiden ini sengaja direncanakan oleh pihak tertentu di peringkat antarabangsa bertujuan untuk menimbulkan kebencian terhadap Islam dan umat Islam di Perancis serta bertujuan memburukkan nama baik umat Islam yang berjuang mempertahankan hak seperti di Palestin dan Syria.

Diharapkan tiada pihak yang terburu-buru bertindakbalas tanpa waras dengan provokasi yang wujud yang menjadikan Islam dan umat Islam sebagai mangsa.

Akhirnya, DUPP merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa, keluarga dan rakyat Perancis di atas musibah yang berlaku. – HARAKAHDAILY 15/11/2015

Penulis adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Share on Myspace