Tanah Runtuh: Jangan sampai ada korban

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

KUALA LUMPUR: Pertubuhan NGO Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) memandang serius kejadian kejadian tanah runtuh yang berlaku mutakhir ini khususnya selepas insiden di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur yang menyebabkan jalan kedua-dua arah ditutup.

Presiden NGO Generasi, Ustaz Roslan Md Esa berkata, berdasarkan tinjauan pihaknya semalam, terdapat banyak cerun di jalan lama Bentong- Kuala Lumpur yang juga menjadi jalan alternator kedua-dua arah ketika ini akibat laluan utama lumpuh sepenuhnya.

Kata beliau, jika keadaan cerun ini yang telahpun runtuh sebahagiannya tidak diatasi maka ia boleh menyebabkan berlakunya sekali lagi runtuhan yang lebih besar bukan sahaja di jalan lama, malah di kawasan lebuh raya memandangkan kawasannya berkait antara satu dengan lain.

"Kita bimbang jika dalam keadaan hujan lebat yang melanda sebahagian besar Semenanjung ketika ini dan tidak terkecuali negeri Pahang, maka runtuhan boleh berlaku selain boleh juga menlibatkan mangsa yang sentiasa melalui jalan tersebut khasnya ketika musim cuti sekolah minggu depan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mendesak agar Jabatan Kerja Raya dan agensi terbabit memerhati dan segera bertindak ke atas sebarang kemungkinan runtuhan di lebih 10 lokasi di jalan lama yang bakal memberi kesan sampingan kepada jalan utama memandangkan bukit bukau di kawasan ini saling bersambung.

Bagi NGO Generasi kaedah mencegah lebih baik daripada mengubati.

Selain itu beliau juga meminta agar pihak konsesi lebuh raya Karak - Kuala Lumpur segera mengatasi masalah laluan yang ditutup khasnya selepas kadar tol di lebuhraya tersebut naik pada Oktober lalu yang mengakibatkan beban kepada warga kota yang kerap menggunakan laluan tersebut. – HARAKAHDAILY 15/11/2015

Share on Myspace