4 parah bas rombongan pelajar kemalangan di LPT2

BERNAMA | .

KEMAMAN: Tiga pelajar dan seorang pemandu bas parah selepas bas yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler dalam kemalangan di kilometer 292.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini awal pagi Ahad.

Dalam insiden kira-kira pukul 2.15 pagi itu, bas persiaran dua tingkat yang membawa 54 pelajar dan tujuh guru pengiring dari Sekolah Menengah Islam Hira' Jeram, Kuala Selangor sedang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim berkata bas tersebut telah melanggar belakang sebuah treler yang membawa muatan kayu dan papan.

"Siasatan awal mendapati rombongan bas sekolah berkenaan ingin berkunjung ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) Kuala Terengganu untuk mengadakan lawatan sambil belajar," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata kesemua mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut manakala penumpang lain hanya cedera ringan termasuk pemandu lori dan mendapat rawatan pesakit luar. - Bernama

 

Share on Myspace