Elaun: Husam tidak hadir mesyuarat PAS negeri

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Ketika mesyuarat Perhubungan PAS Kelantan membincangkan kenaikan elaun wakil-wakil rakyat, tidak ada wakil dari PAS kawasan yang hadir membantah.

Namun malangnya kata Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi ada wakil rakyat yang juga Yang Dipertua PAS kawasan tiba-tiba membantah melalui media massa.

Katanya, tindakan pemimpin terbabit adalah tidak adil kepada wakil rakyat lain yang hadir pada mesyuarat tersebut.

“Tidak adil kepada Adun lain kerana semua pihak setuju tetapi peliknya kita seorang yang tidak datang maka kita kata tidak setuju.

“Kita dilihat mahu menjuarai isu tersebut seorang. Dan kalau datang ke persidangan Dun dan berbahas boleh dianggap masih adil kepada ahli-ahli yang lain,” katanya di sini.

Baru-baru ini Adun Salor Datuk Husam Musa membuat kenyataan media dengan melahirkan rasa hairan elaun Adun, Exco, Menteri Besar dan Speaker dinaikkan ketika ekonomi rakyat masih terhimpit.

Persidangan Dun dua minggu lepas meluluskan Enakmen Saraan Anggota-anggota Pentadbiran dan Anggota-anggota Dewan Negeri (Pindaan 2015) menyaksikan kenaikan elaun Adun kepada RM8,000 berbanding RM4,600 sekarang.

Kenaikan itu berkuatkuasa awal tahun hadapan.

Che Abdullah juga berkata setiap perkara yang hendak dibawa ke persidangan Dun terlebih dahulu perlu mendapat kelulusan Dewan Harian dan Perhubungan PAS negeri.

“Setiap perkara yang hendak dibawa masuk Dun ada prosedurnya. Kena bincang di peringkat parti dahulu.

“Kenaikan elaun Adun dibentang dalam mesyuarat perhubungan. Setiausaha PAS Kubang Kerian juga hadir namun tidak ada apa-apa bantahan,” ujarnya.

Namun malangnya kata beliau pemimpin terbabit melahirkan rasa tidak puas hati dalam suratkhabar dan bukan melalui saluran sepatutnya.- HARAKAHDAILY 15/11/2015

Share on Myspace