Dakwaan UG di Selangor ketinggalan zaman

SALMIYAH HARUN | .

SHAH ALAM: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan dakwaan untuk membentuk kerajaan perpaduan (UG) di Selangor oleh Datuk Husam Musa adalah ketinggalan zaman.

Menurut Abdul Hadi, pembentukan kerajaan campuran sudah berlaku pada tahun 1971.

"Kita sudah bentuk kerajaan campuran dengan BN pada tahun 1971. Husam sudah ketinggalan zaman," katanya kepada pemberita petang ini.

Beliau berkata, UG yang hendak dibentuk bukan bermaksud dengan BN tetapi dengan semua kerajaan parti iaitu kerajaan PKR, DAP dan BN.

Katanya, idea cadangan membentuk UG itu selepas pilihan raya pada tahun 2008 tetapi oleh kerana terlalu banyak halangan usaha itu tidak berjaya.

"UG itu adalah dengan semua parti dalam kerajaan iaitu BN dalam kerajaan, DAP dalam kerajaan dan PKR dalam kerajaan.

"Usaha ini tidak jadi sebab ada parti-parti yang tidak setuju. UG bukan bermaksud dengan BN. Itu putar belit. Husam maksudkan BN, itu lain UG lain," jelas beliau.

Abdul Hadi turut menegaskan PAS tidak akan menyertai BN tetapi akan meneruskan kerjasama dengan BN yang dianggap kerjasama itu adalah perkara biasa.

"Kita tidak terikat. Contoh negara asing ceroboh negara kita, kita kena kerjasamalah. Menangani jenayah, dadah kita kena kerjasama, termasuk isu Rohingya, Palestin dan Bosnia,"tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Hi-Tea Jelajah Saidatina Khadijah (Jelas) oleh Lajnah Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia di sini hari ini.

Majlis ini merupakan acara kemuncak program Jelas yang telah diadakan diseluruh negara dan negeri Kelantan merupakan destinasi terakhir bagi program itu.

Turut berucap pada majlis tersebut Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia Nuridah Salleh dan Ketua Penerangannya Wan Hasrina Wan Hassan.

Presiden turut melancarkan dua produk daripada Muslimat iaitu pewangi badan 'PAS D'Hati' dan coklat pada majlis itu. - HARAKAHDAILY 15/11/2015

Share on Myspace