'Jika ini dianggap jahat, Guan Eng terlalu angkuh'

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah menunjukkan sikap kebenciannya apabila menuduh Exco- exco PAS di Selangor sebagai ‘buat jahat’ kerana berjaya berjuang menaikkan elaun guru-guru kelas agama dan fardu ain (Kafa) sekolah agama di negeri itu menjadi RM1,500 bermula tahun 2016.

"Kalau usaha PAS Selangor semenjak 2008 ini dianggap jahat oleh Lim Guan Eng, maka rakyat sendiri boleh menilai.

"Apakah PAS Selangor dianggap jahat kerana telah memperkasakan institusi masjid serta memperjuangkan kewujudan Kolej Intergrasi Tahfiz Selangor?" tanya Setiausaha PAS negeri, Mohd Khairuddin Othman.

Menurutnya, dalam persidangan Dewan Negeri Selangor baru-baru ini dan atas perbincangan dengan Menteri Besar, kesemua 13 Adun PAS telah menyokong cadangan calon Senator Dewan Negara yang dikemukakan oleh PKR dan DAP.

“Jika ini juga dianggap jahat oleh Lim Guan Eng, maka kita anggap beliau terlalu angkuh dan sengaja mengundang masalah.

“Kita percaya ramai ahli DAP di Selangor masih rasional dan tidak bersetuju dengan pandangan tersebut,” ujarnya yang juga Adun Paya Jaras. – HARAKAHDAILY 16/11/2015

Share on Myspace