Penapisan filem perlu ikut syariat Islam

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa lebih konsisten dalam isu penapisan filem dengan mengambil kira faktor syariat Islam terutamanya filem dari luar negara.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika soalan tambahan berkata tindakan ini bagi memastikan golongan muda tidak terpengaruh dengan apa yang disiarkan itu.

"Kebanyakan filem dari luar negara boleh merosakkan akhlak golongan muda kerana mereka mudah terpengaruh dengan apa yang ditayangkan pada filem tersebut.

"Kita mahu agar kerajaan terutama Lembaga Penapisan Filem (LPF) menekankan isu ini dengan meletakkan garis panduan yang lebih Islamik," katanya.

Nik Mohamad Abduh pada soalan asal meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan tindakan bagi mengawasi penapisan filem negara.

"Ada kenyataan menteri yang menegur pihak di LPF agar tidak berfikiran sempit dan perlu mengkaji semula garis panduan penapisan bagi penerbitan drama atau filem.

"Kerajaan perlu konsisten dan tidak berlawanan arus dalam isu membabitkan penapisan filem," kata Ketua Pemuda PAS Malaysia itu lagi.

Menjawab pertanyaan tersebut, Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Anak Kujat berkata LPF akan memastikan filem-filem yang dibawa masuk atau di dalam negara mengikuti prosedur yang telah ditetapkan. – HARAKAHDAILY 16/11/2015

Share on Myspace