Kongres Rakyat: Sila selamatkan bolasepak negara!

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

CERITA bola sepak Malaysia sememangnya tiada kesudahan. Saban bulan ada sahaja topik yang menyucuk gegendang telinga. Bukan sedikit perkara negatif yang berkaitan dengan iklim bola sepak negara didendangkan. Ianya tidaklah pelik kerana bola sepak merupakan antara sukan utama di Malaysia.

Namun apa yang pelik ialah walaupun ianya merupakan sukan yang utama namun pembangunan dan mutu bola sepak negara masih berada di takuk yang lama. Masih lagi gagal untuk bangkit.

Persoalannya, sampai bilakah isu mutu bola sepak negara akan berakhir? Merudum dan terus merudum kedudukan Malaysia dalam ranking bola sepak dunia. Yang terkini, Malaysia dengan bangganya berada pada tangga yang ke 171 di bawah negara-negara kecil seperti Timor-Leste dan Tajikistan.

Lebih menyayat hati, negara yang sentiasa berperang seperti Palestin pun berada di kdudukan yang lebih baik daripada Malaysia. Hasrat rakyat Malaysia bukan sahaja ingin melihat Malaysia pada kedudukan ranking terbaik dunia, ceritanya rakyat Malaysia ingin Malaysia ke Piala Dunia! Sejak 1974 sehingga kini, kelayakan pun Malaysia tidak lepas.

Korea Selatan merupakan saingan sengit dan musuh tradisi Malaysia suatu ketika dahulu. Ya, suatu ketika dahulu. Kini musuh tradisi tersebut sudah jauh meninggalkan Harimau Malaya terkapai-kapai kelemasan mencari rentak mengembalikan ketajaman taring dan bisa kukunya.

Tempoh 40 tahun merupakan tempoh yang cukup lama untuk Malaysia gagal ke Piala Dunia. Dan tahun ini merupakan tahun ke 41 Malaysia terus gagal! 40 tahun merupakan tempoh matang bagi seseorang jika diukur dari sudut umur. Namun pada tempoh 40 tahun ini jugalah, Malaysia masih lagi merangkak dan bertatih.

Di manakah silapnya bola sepak Malaysia? Badan induk bola sepak negara iaitu FAM perlu berbuat sesuatu. Amat malang pengerusi FAM hanya meluahkan rasa sedih dan kecewa jika Malaysia kalah dalam sesebuah perlawanan. Kini FAM ditadbir oleh pengerusinya yang baharu (meskipun jawatankuasanya yang lain masih lagi orang yang sama). Timbul sinar harapan.

Namun setelah kekalahan memalukan 0-10 Malaysia kepada UAE pada 3 September dan kekalahan 0-6 kepada Palestin pada 16 Jun baru ini, sinar tersebut kian malap. Muncul sedikit sinar harapan apabila Malaysia berjaya menewaskan Timor Leste sebanyak hanya 1-0. Namun harapan hampa di hujung terowong yang disajikan apabila sekali lagi Malaysia ditewaskan oleh Palestin dengan keputusan yang sama semasa bermain di Malaysia, 0-6!

Saya masih lagi berpegang bahawa pengurusan bola sepak negara dan negeri perlu ditadbir oleh orang yang mahir dan pakar dalam bidang pengurusan bola sepak. Amatlah lucu trend pengurusan bola sepak di Malaysia diterajui oleh ahli-ahli politik dan golongan bangsawan.

Malaysia mempunyai populasi penduduk seramai 31 juta orang. Dalam populasi sebanyak ini, Malaysia hanya mempunyai 2 liga sahaja iaitu Liga Super dan Liga Perdana. Liga Super hanya mempunyai 12 pasukan manakala Liga Perdana hanya mempunyai 10 pasukan sahaja.

Jika dicongak keseluruhan pemain dalam kedua-dua liga ini, Malaysia hanya mempunyai kurang daripada 1000 orang pemain bola sepak yang bermain secara aktif setiap musim. 1000 pemain bagi rakyat yang berjumlah 31 juta yang mana bola sepak merupakan sukan yang utama! Sungguh tidak masuk akal.

Saya tertarik kepada sebuah negara yang berpopulasi seramai 320 000 orang namun mereka mempunyai 75 buah pasukan dan 5 liga. Jauh berbeza dengan Malaysia. Ini menunjukkan betapa miskin dan papa kedananya Malaysia dalam pembangunan mutu bola sepak negara. Bahkan dengan sistem yang terlalu kecil ini, para pemain kurang terlibat dalam perlawanan semusim.

Sistem yang terlalu kecil ini juga seolah-olah menghadkan perkaderan pemain-pemain muda bola sepak untuk terlibat secara profesional dalam sukan bola sepak negara. Dengan bahasa yang lebih mudah, semakin banyak liga, semakin banyaknya perlawanan dan semakin ramai individu yang terlibat dalam sukan bola sepak dan semakin besar potensi untuk bakat baru muncul.

Ini adalah sedikit permasalahan dan cadangan kepada penambahbaikan mutu sukan bola sepak negara daripada pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia. Justeru, satu sidang meja bulat di bawah anjuran Kongres Rakyat akan diadakan segera bagi memulihkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap mutu bola sepak Malaysia.

Kongres Rakyat mengenai penambahbaikan bola sepak negara ini akan menjemput pihak daripada FAM untuk turut hadir ke lapangan bagi bersama-sama mendengar keluhan dan cadangan daripada para peminat bola sepak. Kami akan memaklumkan tarikh dan tempat yang sesuai dalam masa yang terdekat bagi sidang meja bulat ini.

Kami juga menyeru semua NGO, kelab-kelab dan penaung bola sepak, para pengulas dan pengkritik sukan untuk sama-sama hadir. Kami mengharapkan semua pihak dapat hadir bagi memberikan pandangan, cadangan dan kritikan yang membina demi melihat Harimau Malaya terus mengaum, terus membaham dan terus digeruni oleh lawan dan kawan. – HARAKAHDAILY 16/11/2015

Penulis ialah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Share on Myspace