Muslimat jelajah seluruh negara perjelas isu

SALMIYAH HARUN | .

SHAH ALAM: Program Jelajah Saidatina Khadijah (Jelas) 2015 anjuran Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPP) yang melewati hampir seluruh negara terbukti menunjukkan sokongan padu dalam kalangan Muslimat terhadap PAS selama ini tidak pernah berubah.

Program Jelas yang dianjurkan oleh Lajnah Penerangan dan Hubungan Media DMPP telah menjelajah hampir ke seluruh negara bermula di Pahang, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Melaka, Terengganu, Sabah dan berakhir di Kelantan pada Oktober lalu.

Program Hi-Tea Konvensyen Jelas bersama Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang merupakan acara kemuncak kepada Program Jelas turut mendapat sambutan yang menggalakkan apabila dihadiri kira-kira 700 perserta.

Ketua DMPP Nuridah Salleh yang turut memberi ucapan di dalam program itu berharap seluruh kepimpinan sesi ini terus memberi sokongan kepada kejayaan Muslimat yang memegang tanggungjawab besar iaitu menjadi agen penggerakan masyarakat.

Katanya, sepanjang program Jelas berlangsung ke semua ahli di peringkat negeri telah menunjukkan sokongan yang baik kepada parti.

"Dengan adakanya program Jelas ini kita dapat menjelaskan kepada akar umbi dan mereka cukup memahami dengan apa yang berlaku di dalam parti hari ini. Dan kita sebagai muslimat bersedia untuk meneruskan perjuangan," katanya di hadapan tetamu dalam majlis itu.

Ketua Penerangan DMPP Wan Hasrina Wan Hassan berkata majlis itu bertujuan membuka ruang kepada penyokong serta sesiapa sahaja untuk bertemu dan berdialog bersama Presiden PAS bagi memahami isu-isu yang melanda negara dan parti ketika ini.

"Para hadirin boleh mengajukan apa sahaja soalan kepada Presiden hari ini untuk mendapatkan jawapan terus daripada beliau mengenai isu-isu yang melanda negara," katanya ketika memberi ucapan aluan.

Hasil daripada program Jelas yang diadakan ini, beliau menjangkakan PAS sebenarnya tidak terjejas dengan krisis yang berlaku khususnya di dalam parti.

Hampir satu jam masa diberikan kepada para tetamu yang hadir untuk mengajukan soalan-soalan kepada Presiden PAS.

Pelbagai soalan diajukan termasuklah isu terkini yang melibatkan pemimpin PAS Kelantan yang kini lantang mengkritik kepimpinan Presiden PAS, ke semuanya dijawab dengan tenang oleh beliau.

Di samping itu, Presiden PAS turut melancarkan dua produk keluaran DMPP iaitu Coklat Bebola Kismis Doa Dinar dan pewangi badan 'PAS D'Hati' dengan empat jenis bauan.

Majlis juga membuka ruang untuk para peserta mengambil gambar dengan Presiden PAS di satu sudut 'photobooth' yang disediakan. Peserta dikenakan bayaran RM100 dan gambar tersebut akan diletak di dalam frame oleh pihak penganjur.

Turut hadir dalam program itu,  Bendahari PAS Pusat Mohmamad Nor Mohamad, AJK PAS Pusat Dr Rosni Adam, Pesuruhjaya PAS Perlis Ustaz Hashim Jasin dan beberapa tetamu dari kalangan DHPP serta NGO OKU. – HARAKAHDAILY 16/11/2015

Share on Myspace