Bersikap adil untuk bendung keganasan dunia

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk sekeras-kerasnya siri serangan di Perancis hingga mengorbankan ramai penduduk awam, selain mendatangkan kecederaan kepada ramai lagi.

“Kami mengucapkan takziah atas keluarga mangsa serta seluruh rakyat Perancis dan menggesa pelaku kejadian segera diheret ke muka pengadilan,” ujar Timbalan Ketua DPPM, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Katanya, dunia akan bebas dari keganasan sekiranya semua pihak bersikap adil dan akan mencapai keamanan hakiki di bawah naungan Islam.

Menurutnya, idealogi manusialah yang menerbitkan kegelojohan hawa nafsu dan penguasaan hingga manusia bertindak melampau, ganas, menzalimi dan berperang.

“Kami mengharap seluruh dunia agar bersikap adil dengan tidak menuding jari kepada Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ia tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya cenderung membakar sentimen dan prejudis yang membawa kepada bibit-bibit melampau.

Sedangkan, katanya perbuatan melampau adalah pada siri serangan terancang tersebut.

Tambahnya lagi, sedangkan perbuatan melampau yang bukan dari ajaran Islam.

“Hatta dalam memenuhi keperluan hidup seperti makan dan berpakaian, juga dalam beribadah, Islam melarang sikap melampau,” katanya.

Sesungguhnya, tegas beliau Islam adalah agama yang mensejahterakan dunia hingga akhirat.

“Islam memimpin kepada kesederhanaan, perdamaian dan melindungi segala hak termasuk atas individu. Apatah lagi ke atas masyarakat dan Negara,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 16/11/2015

Share on Myspace