Jahatnya yang pertahankan arak, judi, maksiat

AHMAD AMZAD HASHIM | .

NEGARA kita lemah jika kita candukan rakyat dengan arak, judi, hiburan yang tanpa batasan, maksiat yang semuanya berpunca daripada kurangnya kesedaran beragama, tidak percaya dan patuh pada suruhan Tuhan. Ini bukan terhad kepada yang beragama Islam sahaja. Kenyataan umum termasuk kalangan penganut agama lain juga.

Percaya dan patuh kepada suruhan Tuhan, adakah ini jadikan kita pelampau agama?

Rukun Negara kita meletakkan KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN di tangga pertama.

Arak, judi, maksiat semuanya merosakkan jasmani, tubuh badan dan pemikiran/mental rakyat. Ia menghabiskan bahagian besar daripada pendapatan rakyat yang sepatutnya untuk menyara anak isteri dan ibu bapa. Untuk rumah, makanan, pakaian, pendidikan, perubatan yang jadi keperluan asas kehidupan.

Ia jadi punca keganasan rumah tangga. Pergaduhan yang membawa perceraian. Runtuh institusi rumah tangga. Ibu bapa tidak lagi memberi perhatian kepada anak-anak. Pendidikan dan kasih sayang. Anak-anak kecewa merasa terbiar dan kosong jiwanya.

Kaum wanita yang menjadi isteri dan ibu serta anak anak menangis dan pilu ķerananya.

Yang tiada pegangan hidup dan keimanan yang cukup mencari jalan keluar dengan kawan yang juga rosak akhlaknya tidak berpedomankan agama.

Dadah, ganja, pil kuda mengambil tempat. Buli, rempit, bohsia, anak luar nikah, buang anak semua gejala puncanya sama. Berpeleseran menghabiskan usia yang berharga.

Generasi baru yang lahir daripada acuan negara yang melemahkan mental dan fizikal rakyat akan menggagalkan matlamat menjadikan negara kita kuat, maju, makmur dan sejahtera.

Kita akan bermasalah dengan rakyat yang lemah mentalnya, psikologi yang tidak kental, tubuh badan yang lemah. Dalam dunia global yang penuh persaingan.

Lihat pencapaian ahli sukan. Lihat lembiknya pemimpin di meja rundingan. Lihat pencapaian ujian PISA penguasaan matematik dan sains dalam kalangan pelajar kita. Apa kedudukan universiti-universiti kita?

Politik yang dibiayai pelobi taukeh judi, arak dan pusat maksiat hanya menatijahkan keburukan kepada negara.

Mereka adalah peniaga yang cuma mengira untung dan rugi kepentingan peribadi mereka.

Yang menanggung bencana adalah rakyat dan negara. – HARAKAHDAILY 16/11/2015

Penulis ialah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat

Share on Myspace