Sultan Johor berkecil hati penyebaran berita palsu

BERNAMA | .

JOHOR BAHARU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkecil hati dengan tindakan sesetengah pengamal media sosial yang menyasarkan anakanda baginda, Tunku Abdul Jalil, sebagai mangsa penyebaran berita palsu di laman media sosial baru-baru ini.

Menegaskan penyebaran berita seperti itu patut dihentikan segera, baginda bertitah Tunku Abdul Jalil berada dalam keadaan baik, namun baru-baru ini beliau mengadu sakit belakang hingga memaksanya mendapatkan rawatan di hospital.

"Tunku Laksamana dimasukkan ke wad kerana fasiliti (rawatan) di istana tidak mencukupi.

"Jadi, orang ramai tolonglah jangan menghebah-hebahkan berita palsu. Saya berasa kecil kerana keadaan Tunku Laksamana tidak tenat seperti yang diuar-uarkan dan berharap orang ramai terus mendoakan kesihatan anakanda, " titah baginda kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama Lembaga Pengampunan Johor di Bangunan Sultan Ibrahim di sini Isnin.

Sultan Ibrahim bertitah demikian sebagai mengulas laporan tentang Tunku Abdu Jalil yang dikatakan sedang sakit tenat akibat kanser dan kini menjadi viral di laman media sosial.

Sultan Ibrahim turut menegaskan, di Johor, baginda tidak mahu perbuatan penyebaran berita palsu itu terus berleluasa kerana kerajaan negeri yang ada sekarang dilantik oleh baginda.

"Kerajaan tahu di mana tujuan (penyebaran), jadi tidak payah sebar-sebarkan berita yang kurang senonoh terutama blogger, yang kononnya macam mereka tahu dulu (semua perkara) sebelum kejadian berlaku," titah baginda.

Terdahulu, baginda memaklumkan sekurang-kurangnya 30 kes jenayah melibatkan banduan di seluruh negeri dipertimbangkan untuk diampunkan bersempena Hari Keputeraan baginda pada 22 Nov ini.

Titah baginda, keputusan muktamad untuk pertimbangan itu akan diumumkan menerusi media massa tidak lama lagi.- Bernama

Share on Myspace