Mudah-mudahan ‘kerja baik’ DAP didahulukan di P Pinang

MOHD YUSNI MAT PIAH | .

WALAUPUN Kerajaan PAS di Kelantan menafikan tuduhan bahawa mereka meluluskan kawasan pembalakan di hutan simpan ketika sidang Dun Kelantan baru-baru ini, DAP melalui setiausaha agungnya masih tetap melontarkan kenyataan yang berunsur fitnah terhadap PAS seperti yang dilaporkan media semalam.

Kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu dibuat seolah-olah beliaulah juara alam sekitar dan ‘hero’ rakyat di negara ini. Sebelum beliau menggambarkan bahawa DAP adalah juara dalam 2 aspek itu, ingin saya lontarkan beberapa persoalan kepada beliau terlebih dahulu berkenaan beberapa projek di Pulau Pinang:

1. Adakah betul kerja-kerja pembangunan lereng bukit di Balik Pulau, Jalan Teluk Kumbar dan Jalan Bayan Lepas penyebab berlakunya banjir dan tanah runtuh?

2. Sejauh mana kesan terhadap alam sekitar dari Projek Terowong Dasar Laut dari Gurney Drive ke Bagan Ajam sejauh 6.5 km yang dikatakan melibatkan penerokaan tanah pinggir laut seluas 110 ekar?

3. Adakah nilai keseluruhan projek Terowong Dasar Laut yang dilaporkan media sebanyak RM4.63-RM6.3 bilion itu wajar dilaksanakan sekarang dalam keadaan rakyat sedang dihimpit kos sara hidup yang tinggi? Lebih-lebih lagi jika Rakyat dibebani pula dengan masalah tol oleh pemegang konsesi.

4. Adakah Projek Tambak Laut di Permatang Damar Laut akan dilaksanakan? Adakah projek itu bakal menjejaskan alam sekitar serta kehidupan 300 nelayan pantai di lokasi itu?

Mudah-mudahan ‘kerja baik’ beliau dan DAP di Selangor untuk menghalang ‘kerja jahat’ PAS telah dilaksanakan terlebih dahulu di Pulau Pinang.

Mewakili Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang dan rakyat di negeri ini, kita menuntut penjelasan segera dari beliau di atas semua persoalan yang telah saya bangkitkan di atas. – HARAKAHDAILY 16/11/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang.

Share on Myspace