UPSR 2015: 38,344 calon dapat semua A

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Pencapaian keseluruhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 meningkat dan murid yang mendapat keputusan cemerlang semua Gred A juga meningkat kepada 38,344 orang berbanding pencapaian pada tahun 2014.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata sejumlah 443,407 murid menduduki UPSR pada tahun ini dan murid yang mendapat semua Gred A meningkat 0.76 peratus, iaitu daripada 7.89 peratus pada tahun 2014 kepada 8.65 peratus pada tahun ini.

Tahun lepas, 36,304 pelajar daripada 460,407 calon mendapat semua Gred A.

"Pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) UPSR meningkat sebanyak 0.02 mata, iaitu daripada GPN 2.29 pada 2014 kepada 2.27 tahun ini. Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik," katanya mengumumkan analisis keputusan UPSR 2015 di Kementerian Pendidikan di sini hari ini. - Bernama

Share on Myspace