Pemuda PAS Kelantan sedia anjur dialog Mustafa-Husam

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan sedia menjadi penganjur majlis dialog terbuka antara Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali dan Adun Salor, Datuk Husam Musa.

Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata pihaknya akan menyediakan ruang yang luas bagi menampung kehadiran yang berminat untuk mengikuti penjelasan isu ini secara langsung daripada individu yang terlibat.

"Pemuda PAS Kelantan menyambut baik kenyataan Mustafa yang mengajak Husam bersekemuka di dalam satu majlis terbuka bagi mendedahkan kebenaran berhubung pertemuan PAS-Umno selepas Pilihan Raya Umum 2008.

"Kita bersedia menjadi penganjur dan menyediakan ruang untuk majlis dialog tersebut sekiranya ia difikirkan sesuai dan mendapat kebenaran," katanya.

Mustafa Ali sebelum itu turut mencadangkan agar majlis tersebut diadakan di kota Bharu dengan mana-mana pihak bertindak sebagai penganjur atau moderator dan turut melibatkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

"Harapan kami agar kedua individu yang dicadangkan iaitu Husam dan Khalid bersetuju dan  boleh hadir bersekemuka dengan Mustafa apabila dijemput nanti.

"Ini adalah kerana khalid juga dikaitkan sebagai salah seorang pemimpin PAS yang berjumpa dengan pimpinan Umno pada waktu itu," katanya lagi.

Beliau berharap dengan majlis dialog tersebut akan dapat menghilangkan keraguan yang ditimbulkan berhubung tohmahan kononnya PAS berhasrat untuk bergabung dengan umno.

Semoga ia menjadi majlis yang bermanfaat dan menghilangkan keraguan yang ditimbulkan berhubung tohmahan kononnya PAS berhasrat untuk bergabung dengan Umno. – HARAKAHDAILY 17/11/2015

Share on Myspace