Bajet Pahang 2016 tiada yang mengujakan

BASIRON ABDUL WAHAB | .

KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Andansura Rabu menyifatkan Bajet Pahang 2016 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob semalam secara keseluruhanya tidak ada yang mengujakan atau sesuatu yang baharu.
 
Katanya, pendapatan negeri masih lagi bergantung kepada sumber pendapatan tradisi iaitu hasil tanah dan galian selain dari hasil perhutanan.

Ini ujarnya, kerana jumlah pendapatan negeri dianggarkan sebanyak RM728.90 juta yang mana 40 peratus datangnya dari hasil tanah dan galian, 31 peratus dari geran kerajaan persekutuan dan bakinya dari hutan, air dan lainlain sumber.
 
“Kerajaan negeri harus mencari pendekatan baru bagi mempastikan kesinambungan pembangunan negeri. Segala hasil tradisi akan semakin berkurangan dan dibimbangi sekiranya tidak ada langkah-langkah segera di ambil, negeri Pahang akan kehilangan sumber perolehan negeri untuk terus menanggung perbelanjaan," ujarnya.
 
Di sebalik pembentangan bajet, penduduk Kuantan terus tertekan dengan kesan pencemaran akibat perlombongan bauksit.
 
Andansura dan Lee Chean Chung (PKR-Semambu) yang prihatin dengan isu berkenaan meminta kerajaan negeri menghentikan perlombongan bauksit buat sementara.
 
Sebagai bantahan terhadap isu berkenaan Adun Semambu itu membawa kenderaan yang kotor ke Wisma Sri Pahang supaya dapat dilihat oleh semua pihak.
 
Beliau mendakwa melalui kawasan yang tercemar itu untuk mengetahui apa yang akan diperolehi oleh para pengguna yang melalui kawasan berkenaan yang teruk ialah Gebeng, Sungai Ular dan Bukit Goh. - HARAKAHDAILY 17/11/2015

Share on Myspace