JPM digesa pantau elaun, gaji pegawai tinggi YaPEIM

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menggesa Jabatan Perdana Menteri (JPM) membuat pemantauan terhadap elaun serta gaji pegawai tertinggi di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Beliau berkata, dua pegawai tertinggi di dalam agensi tersebut dikatakan menerima elaun dan gaji sehingga mencecah RM80,000 sebulan.

"Bagaimana JPM memantau YaPIEM sehingga pegawai-pegawai ini mendapat gaji yang begitu lumayan. Ada elaun tertentu sehingga mencecah jumlah yang terlalu besar.

"Saya mohon penjelasan bagaimana JPM memantau agensi di bawah mereka ini," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mahfuz, jumlah gaji dan elaun yang diterima pegawai tertinggi terbabit sangat lumayan berbanding gaji menteri dan Speaker Dewan Rakyat sedangkan tugasnya tidaklah terlalu besar.

Dalam pada itu, Mahfuz turut mempersoalkan apa rasionalnya YaPIEM mengadakan kursus perkahwinan di luar negara yang melibatkan perbelanjaan yang begitu besar.

"Apa munasabahnya buat kursus kahwin di luar negara? Tak kan tidak ada pengawai agama di sana? Apa keperluan buat di sana?," soalnya.

Mahfuz turut meminta sama ada YaPIEM turut mengadakan kursus kahwin kepada golongan miskin di dalam negara dan berapa ramai mereka yang terlibat. – HARAKAHDAILY 17/11/2015

Share on Myspace